Penunggang motosikal lawan arus yang mengakibatkan kematian seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi Ducati di SUKE sedang giat dikesan polis.

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan penunggang motosikal yang melawan arus di Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal berkuasa tinggi warga emas dalam kejadian di Ampang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pada masa ini, siasatan lanjut sedang diteruskan bagi mengenalpasti identiti penunggang motosikal yang cuai itu.

“Polis juga sedang mendapatkan maklumat daripada saksi bebas sama ada pengguna lebuh raya berkenaan serta orang awam yang melihat kejadian bagi membantu siasatan,” katanya hari ini.

Tambah Mohd Azam, pihaknya juga turut sedang meneliti segala rakaman kamera litar tertutup yang telah diambil dari kawasan kemalangan maut itu selain mendapatkan bantuan daripada pengendali Lebuhraya SUKE.

Jelasnya lagi, proses bedah siasat terhadap mangsa maut yang menunggang motosikal jenis Ducati Panagale berusia 60 tahun itu akan dilakukan di Hospital Ampang hari ini.

“Kita sedang menunggu hasil laporan bedah siasat nanti untuk mengetahui punca kematian dan juga meneruskan siasatan lanjut kes ini,” ujarnya.

Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya mengalu-alukan sebarang maklumat dari saksi bebas kejadian ini dan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Inspektor Muhamad Yusaiful Muhamad Basir ditalian 01113078348.

Terdahulu, dalam kejadian yang berlaku sekitar 1.05 tengah hari semalam, sebuah motosikal dikesan melawan arus dari arah Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Ulu Kelang naik ke Lebuhraya SUKE dalam keadaan melawan arus.

Ketika melalui satu laluan berselekoh, motosikal mangsa jenis Ducati yang datang dari arah Ampang menuju ke arah Ulu Kelang itu dilaporkan cuba mengelak motosikal yang melawan arus sebelum melanggar penghadang jalan sebelum tercampak dari jejambat setinggi 30 meter itu.

Mangsa telah mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut jatuh 30 meter di SUKE