DUN negeri sembilan
Aminuddin Harun pada Majlis Sepetang Menteri Besar Negeri Sembilan Bersama Media di kediaman rasmi beliau di Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan tidak akan dibubarkan lebih awal bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya tidak mengikut langkah Selangor yang membubarkan DUN lebih awal.

“Kita tidak ikut, Selangor sebab ada perkara lain,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sepetang Menteri Besar Negeri Sembilan Bersama Media di kediaman rasmi beliau di sini, hari ini.

Sebelum ini, Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat menyatakan DUN Negeri Sembilan akan dibubar pada 30 Jun.

DUN Negeri Sembilan bakal terbubar secara automatik pada 2 Julai ini.

Berhubung pembahagian kerusi dengan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, beliau berkata, rundingan masih lagi di tahap 90 peratus.

“Kita serah kepada Majlis Presiden,” jelasnya.

Aminuddin menambah, persiapan jentera PH di semua kerusi DUN berjalan lancar dan kempen telah bermula secara tidak rasmi dengan menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

“Kita akan menghadapi PRN ini apabila bubar sahaja dan mula gendang kempen.

“Saya rasa semua parti akan berkempen, berkempenlah dengan bijaksana dan ikutlah undang-undang sedia ada,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berharap pengamal media terus menyampaikan berita yang tepat dan berinformasi pada PRN akan datang.

“Dengan adanya berita ini dan informasi yang disampaikan dapat mematangkan rakyat,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast