PETALING JAYA – Pemain kelab bola sepak Sabah FC telah didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memukul dan mendatangkan kecederaan terhadap teman wanitanya yang juga seorang doktor perubatan.
Tertuduh, Mohd Rizal Mohd Ghazali, 31, yang juga bekas pemain skuad Harimau Malaya bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap segala pertuduhan tersebut.
Terdahulu, Mohd Rizal yang berpakaian baju T biru dengan berseluar jeans hadir ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan sekitar jam lebih kurang 8.15 pagi.
Rizal yang kini sedang beraksi bersama pasukan Sabah FC membuat pengakuan itu setelah kertas pertuduhannya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah sekitar pukul 11.45 pagi tadi.
Mengikut kertas pertuduhan pertama, Mohd Rizal telah didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Hani Farhana Hasrul Sani, 37, dengan memukul mangsa.
Rizal yang juga memiliki status sebagai pemain paling bernilai di rantau ini dituduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2000 atau kedua-duanya sekali.
Dalam pertuduhan kedua pula, Mohd Rizal telah didapati melakukan khianat dengan merosakkan telefon bimbit milik Hani Farhana Hasrul Sani yang nilai kerugian dianggarkan RM4,500.
Mohd Rizal turut dituduh di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahannya.
Bekas pemain Perlis dan juga Kedah FC itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu pada 7 Jun 2023 jam lebih kurang pukul 6 pagi di bilik 2715, Hotel Le Maridian, Petaling Jaya.
Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Ab Manaff manakala tertuduh diwakili oleh peguam Datuk Suraj Singh.
Siti Maryam menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak mengganggu saksi atau mangsa kejadian.
BACA: Pemain Liga Super pukul, cederakan teman wanita ditahan polis
Suraj merayu mahkamah mengurangkan nilai wang jaminan kerana tertuduh telah memberi kerjasama penuh kepada polis sepanjang siasatan dan mempunyai tanggungan ibu bapa.
Zhafran setelah mendengar hujah kedua-dua pihak telah membenarkan wang jaminan RM3,500 kepada tertuduh dengan seorang penjamin dan mengekalkan syarat tambahan yang dicadangkan oleh Timbalan Pendakwa Raya.
Majistret kemudian menetapkan 24 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes serahan dokumen.
Dalam kenyataan pada 9 Jun lalu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, perselisihan faham mengenai status hubungan cinta sebagai punca pemain bola sepak Liga Super memukul teman wanitanya dalam kejadian di sebuah hotel di Petaling Jaya.
Suspek telah ditahan di dalam bilik hotel berkenaan pada jam lebih kurang pukul 2.45 pagi dan terdahulu, mangsa menerusi status Instagramnya mendakwa dirinya dicederakan oleh kekasihnya baru-baru ini.
Wanita warga tempatan itu menggunakan akaun Instagram Dr Hana Rose miliknya dan memuat naik beberapa keping gambar membabitkan tangannya cedera dipercayai akibat pergelutan dengan teman lelakinya itu.
Dalam hantaran tersebut, dia turut memaklumkan satu laporan polis sudah dibuat selepas mengalami kecederaan dipukul pemain pasukan bola sepak Liga Super itu. – MalaysiaGazette