KUANTAN – Wakil ibu bapa sebuah sekolah di Paloh Hinai, Pekan menyuarkan rasa tidak puas hati tentang perbelanjaan wang terkumpul sumbangan PIBG hampir RM30,000 disyaki disalahguna Yang Dipertua (YDP) PIBG sekolah itu.
Wakil ibu bapa yang ditemui, Arida Nasir, 43 meluahkan kekecewaannya dan menggesa agar penjelasan terperinci berhubung penggunaan wang tersebut dijelaskan kepada hampir 300 ahli PIBG sekolah terbabit.
“Mengikut apa yang diberitahu, memang wang digunakan untuk keceriaan sekolah seperti beli printer, beli pintu kantin dan baik pulih sekolah.
“Tapi kami rasa macam tak wajar sebab duit PIBG sebanyak tu digunakan untuk tujuan itu sahaja. Harga yang dilampirkan untuk tujuan pembelian barangan juga tidak masuk akal.
“Patutnya sebagai YDP, dia kena cari dana lain bagi kegunaan keceriaan sekolah, mohon dengan Pegawai Tadbir Daerah (PTD) ke, wakil rakyat setempat ke,” katanya.
Arida serta beberapa wakil ibu bapa yang lain ditemui di Balai Polis Paloh Hinai, Pekan, di sini hari ini selepas perbincangan dengan pihak polis.
Mengulas lanjut, katanya, perkara itu telah diusulkan dalam mesyuarat PIBG yang diadakan pada 15 Jun lepas, namun kedua-dua YDP dan guru besar bertindak keluar mesyuarat tanpa penjelasan, lantas menimbulkan suasana tegang antara ibu bapa yang hadir.
“Masa mesyuarat tu kami tanya hal ini. Tapi kami tak dapat penjelasan.
“Jadi kami sepakat untuk bubar PIBG tu, mohon untuk perlantikan YDP baharu. Kita tunggu lah jawapan seterusnya daripada PPD ke JPN ke,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, seorang lagi wakil ibu bapa, Mohd Khairil Hisyam Zainal Abidin, 35 turut menyuarakan kekecewaannya terhadap guru besar sekolah anaknya itu kerana didakwa tidak profesional dalam menangani isu ini.
“Bila kami bertanya pasal duit tu, kita nak tahu resit dengan invois je. Kenapa dia tinggalkan mesyuarat tu begitu sahaja? Dia menolak untuk menjawab dan tangguhkan mesyuarat,” katanya.
Guru besar itu juga dakwa beliau, pernah menghina anaknya berikutan kejadian salah faham yang pernah timbul, hanya kerana dia bekerja sebagai penjaga keselamatan di sebuah kilang di sini.
“Patutlah miskin, akhlak pun miskin. Menghina saya. Dia pernah bertanya saya kerja apa dan dia boleh cakap macam tu waluapun ketika itu isu salah faham sahaja. Saya terkilan juga lah. Tapi memang dia tak layak jadi guru besar di sini,” luahnya lagi.
Sebelum ini, tular sebuah klip video memaparkan sekumpulan ibu bapa memasang kain rentang menggesa agar guru besar sekolah itu ditukar kerana tidak puas hati pengurusan wang PIBG sekolah tersebut.
Difahamkan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan telah ambil maklum berkaitan isu yang tular ini dan tindakan lanjut terhadap guru terbabit telah diambil. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN