Zahari Sarip menyampaikan insentif Penternak Lembu Pedaging Jabatan Perkhidmatan Vaterinar di Segamat, Johor.

SEGAMAT – Bekalan lembu di Johor mencukupi menjelang Hari raya Aidiladha pada minggu hadapan.

Exco Pertanian, Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Datuk Zahari Sarip berkata, seramai 25,576 penternak lembu tempatan membekalkan keperluan haiwan itu.

Beliau berkata, bilangan penternak yang ramai itu boleh membantu mengurangkan kebergantungan kepada lembu import.

“Saya ingin menasihatkan kepada penternak agar jangan ambil kesempatan waktu musim Hari Raya Korban ini. Alhamdulillah di Segamat saya tidak ada dengar pula lembu mencecah ratus ribu.

“Semalam saya baru berjumpa dengan seorang penternak yang dia menjual seekor lembu korban hanya RM4,500 sahaja,” katanya selepas Majlis Penyampaian Insentif Ternakan Lembu Pedaging Jabatan Veterinar Johor di Pejabat Veterinar Segamat, di sini, hari ini.

Tambahnya, penambahan pengeluaran lembu tempatan membantu menstabilkan harga lembu.

Dalam majlis sama, seramai 17 penternak menerima insentif lembu baka dengan setiap penternak menerima seekor ekor lembu jantan dan empat ekor lembu betina berjumlah RM500,000 menerusi peruntukan Bajet Johor 2023.

“Yang penting 17 penerima hari ini mesti berjaya jika tidak berjaya saya bimbang kerajaan tidak beri lagi dan peruntukan ini adalah khusus kepada vaterina untuk lembu baka ini

“Ia salah satu usaha kita untuk mencapai tempoh lima tahun dengan sasaran dari tahun lepas hingga 2027 kita mahu menambah jumlah lembu pedaging kita sseluruh Johor iaitu daripada 84,600 ekor tahun lepas kepada 102,800 ekor tahun 2027 dan ini peningkatan 200 peratus,” katanya.

Sementara itu,  Zahari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Buloh Kasap memberitahu, permohonan permit penyembelihan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar JPV masih dibuka sehingga 26 Jun depan.

Terdapat 192 pusat penyembelihan di seluruh Johor yang menerima permit kebenaran penyembelihan sementara bagi Aidiladha tahun ini. – MalaysiaGazette