Logo Jabatan Pendaftaran Negara

KUALA LUMPUR –  Dakwaan mengenai dua individu memiliki nombor kad pengenalan yang sama  di aplikasi WhatsApp adalah isu lama yang ditularkan semula.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi kenyataan berkata, isu tersebut berlaku pada tahun 2020 dan telah berjaya diselesaikan.

“JPN juga ketika itu telah mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan perkara ini. Pemilik MyKad tersebut masih lagi memegang nombor kad pengenalan itu dan masih berdaftar sebagai pemilih.

“Siasatan ketika itu mendapati kekeliruan yang berlaku disebabkan terdapat kesilapan semasa proses mendaftarkan nombor telefon dengan pihak Telco berkenaan,” kata JPN.

Jelas JPN, berdasarkan sistem kedua-dua individu berkenaan memiliki nombor kad pengenalan yang berbeza.

“Warganegara Malaysia hanya akan diberikan dengan satu nombor kad pengenalan 12 digit yang unik di mana nombor tersebut dijana oleh sistem menggunakan formula tertentu.

“JPN tidak pernah mengeluarkan nombor kad pengenalan yang sama kepada individu yang berbeza,” tambah kenyataan JPN.

Sehubungan itu, orang ramai diminta supaya tidak mempercayai dan menyebarkan maklumat palsu berkenaan bagi mengelak sebarang kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Tindakan undang-undang boleh diambil bagi penyebaran maklumat yang tidak benar oleh individu yang tidak bertanggungjawab,” kata JPN lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast