Seorang eksekutif akaun wanita sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM680,108.13 empat tahun lalu.

MELAKA – Seorang eksekutif akaun wanita sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM680,108.13 empat tahun lalu.

Tertuduh, Tan Siau Ling, 43, membuat pengakuan itu sejurus enam pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Dharmafikri Abu Adam dan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Mengikut kesemua pertuduhan,Siau Ling sebagai Eksekutif Akaun Syarikat Hap Yeng Seng Sdn. Bhd. didapati telah melakukan pecah amanah dengan memindahkan wang daripada akaun United Overseas Bank milik syarikat terbabit ke dalam akaun bank miliknya keseluruhan berjumlah RM680,108.13.

Perbuatan itu dilakukan antara 24 Mei sehingga 23 Oktober 2019 di Syarikat Hap Yeng Seng Sdn. Bhd., Jalan PM 5, Plaza Mahkota Melaka.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 14 tahun dan dengan sebat dan juga boleh dikenakan denda.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Aliff Asraf Anuar Sharuddin masing-masing mencadangkan jaminan sebanyak RM40,000 dan RM80,000.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah atas alasan tidak mempunyai wang mencukupi.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan nilai keseluruhan RM55,000.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri sekali setiap awal bulan di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan tarikh 18 Julai sebagai sebutan semula kes dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette