KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengeluarkan notis temu siasat pemilik kereta mewah jenis McLaren yang tular baru-baru ini kerana mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lain.
Timbalan Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Erick Jusiang berkata, hasil semakan mendapati nombor pendaftaran itu berbeza dengan data yang terkandung dalam sistem aplikasi MySikap.
“Kereta McLaren itu memang tidak sama dengan pemiliknya mengikut data dalam sistem MySikap dan siasatan lanjut masih berjalan. Daripada segi pemilik berdaftar, nombor pendaftaran semuanya ada, kecuali data mengenai kereta McLaren itu.
“Memang menjadi kesalahan (menggunakan nombor pendaftaran lain) daripada segi undang-undang.
“Dalam masa terdekat ini, kita berbincang untuk mengambil tindakan dengan mengeluarkan Notis 114 kepada pemilik kereta itu. Kita belum mengeluarkan saman, semuanya masih dalam proses siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Op Pemandu Warga Asing (PEWA) di ibu pejabat JPJ WPKL hari ini.
Menurut Erick, siasatan yang dijalankan turut membabitkan aspek mengubah suai kenderaan dan tindakan akan diambil jika didapati melebih skop yang dibenarkan.
Baru-baru ini, tular di laman sosial suami kepada pelakon terkenal memuatnaik hantaran yang memaparkan nombor pendaftaran QPA 1 pada kenderaan buatan McLaren miliknya.
Lelaki itu dikatakan sengaja menggunakan nombor pendaftaran berkenaan bagi tujuan kenangan bersama isteri,dan tidak digunakan ketika memandu. -MalaysiaGazette