Mohd Ali (empat dari kiri) menerima replika cek zakat daripada wakil agensi korporat pada Majlis Penyampaian Zakat Perniagaan di Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Kutipan zakat di Melaka merekodkan jumlah RM70.33 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Ibrahim Fadzil berkata, jumlah itu meningkat 14 peratus berbanding RM61.95 juta dalam tempoh 1 Januari hingga 15 Jun lalu.

Menurutnya, bilangan pembayar zakat bagaimanapun menurun 4.23 peratus kepada 43,947orang berbanding 45,889 orang tahun sebelumnya.

Zakat pendapatan merekodkan kutipan tertinggi iaitu RM37.44 juta diikuti zakat wang simpanan (RM13.37 juta), zakat perniagaan (RM12.22 juta) dan zakat emas serta perak (RM1.04 juta).

“Kutipan zakat saham sebanyak RM446,706, zakat ternakan (RM25,120) dan zakat pertanian sebanyak RM23,979 turut memyumbang kepada peningkatan kutipan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Zakat Perniagaan di Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, kutipan zakat harta secara keseluruhan mencatatkan jumlah RM64.57 juta dengan peningkatan RM8.22 juta bagi tempoh sama 2022.

Bilangan pembayar zakat pula menurun 4.23 peratus kepada 43,947 orang berbanding 45,889 orang tahun sebelumnya.

“Kita di Melaka sepatutnya berasa bertuah kerana walaupun jumlah pembayar zakat menurun 4.23 peratus berbanding tahun sebelumnya, tetapi nilai kutipan tetap meningkat,” tambahnya

Terdahulu, Mohd. Ali menerima zakat korporat berjumlah RM7.64 juta daripada 14 agensi seperti Lembaga Tabung Haji, Perbadanan Melaka, Etiqa Takaful dan Selia Selenggara Selatan Sdn. Bhd. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast