MELAKA – “Dapat sahaja duit upah kupas jagung, saya akan beli susu anak-anak dulu sebab mahu mereka sihat. Saya minum kopi sahaja setiap hari dan cuma ambil nasi sikit untuk berjimat.”
Itu kepayahan hidup diceritakan mualaf, Maria Abdullah, 41, yang terpaksa mengikat perut demi memastikan semua tiga anaknya berusia satu hingga lapan tahun tidak terputus bekalan susu dan beras selepas suaminya dihantar pulang ke Bangladesh pada September tahun lalu.
Sejak itu, dia dan anak-anak hilang satu-satunya tempat bergantung sehingga terpaksa berpindah randah kerana tidak mampu membayar sewa rumah dengan pendapatan antara RM200 hingga RM700 mengambil upah mengupas jagung.
“Saya tak tahu membaca dan menulis menyebabkan kehidupan bertambah sukar dan hanya mampu mengambil upah kerja kupas jagung yang dilakukan di rumah sambil menjaga anak-anak yang masih kecil.
“Anak sulung berusia lapan tahun pun saya tak mampu hantar ke sekolah kerana upah yang diterima pun tak cukup untuk sara kami lima beranak apatah lagi nak bayar yuran sekolah,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Rumah Pangsa Taman Merdeka, Batu Berendam.
Flat berkenaan adalah rumah ketiga didiami Maria dan anak-anaknya sejak Ahad lalu melalui bantuan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) selepas majikan menempatkannya di rumah teres pekerja bersama tiga warga asing lelaki sejak minggu lalu.
Bercerita lanjut, Maria yang memeluk Islam lebih lapan tahun lalu berkata, ketika di rumah sewa sebelum ini, menjadi rutin hariannya mengupas jagung segar yang dihantar majikan setiap hari dengan kadar upah 90 sen sekilogram.
“Kalau majikan hantar banyak jagung setiap hari, bolehlah terima upah sekitar RM700 sebulan, kalau tak banyak dapatlah RM200 sahaja dan itulah duit untuk tampung perbelanjaan harian kami empat beranak.
“Setiap hari saya akan bangun pukul 2 atau 3 pagi, minum kopi O untuk tahan ngantuk dan akan kupas jagung selama 12 jam sampailah pukul 3 petang.
“Sambil itu saya akan uruskan anak-anak dan mengalas perut dengan nasi pada waktu petang sebelum sambung kupas jagung sampailah lewat malam,” katanya menahan sebak.
Namun Maria berkata, sejak berpindah ke rumah flat itu tiga hari lalu, majikannya tidak dapat menghantar jagung kerana rumah berada di tingkat dua yang menyukarkan puluhan kilogram tanaman untuk dipikul di dalam guni.
“Sekarang ini sudah tiga hari saya tak bekerja sedangkan saya betul-betul memerlukan pekerjaan ini kerana tidak mampu keluar rumah meninggalkan anak-anak selain tiada kelayakan akademik.
“Saya harap pihak majikan atau ada pihak lain sudi bantu dapatkan saya pekerjaan ini untuk menyara makan minum dan persekolahan anak-anak agar tidak menerima nasib seperti saya kelak,” katanya.
Sementara itu cabaran hidup keluarga ini turut mendapat perhatian pertubuhan bukan kerajaan, (NGO) Persatuan Sukarelawan Bencana Melaka (PSBM) dan seorang usahawan dari Selangor, K Ganesan yang tampil menghulurkan bantuan.
Presiden PSBM, Ashwad Abdul Rahim dan Ganesan menyalurkan bantuan berupa kit keperluan makanan harian selain wang tunai sekali terima kepada Maria sekeluarga.
“Sebagai sebuah NGO kebajikan, kami akan memberi komitmen sebaik mungkin untuk membantu keluarga ini termasuklah memastikan anak sulungnya mendapat pendidikan untuk mengubah nasib keluarga ini,” kata Ashwad. – MalaysiaGazette