Abdul Basith Abdul Halim

SHAH ALAM – Dewan Pemuda Pas Selangor (DPPS) mempertikaikan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu menyelesaikan masalah pencemaran sungai.

Ketua Penerangannya, Abdul Basith Abdul Halim menegaskan, pencemaran itu membuktikan kerajaan pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari gagal menyediakan sistem paip yang boleh memberi manfaat kepada rakyat.

Jelas beliau, panjang keseluruhan paip di Selangor sekitar 30,000 kilometer dan 20 peratus daripada jumlah tersebut iaitu 6,000 kilometer mencapai status kritikal.

Katanya, paip itu perlu ditukar segera kerana kadar air tidak berhasil (NRW) di Selangor sudah mencecah 27.8 peratus akibat masalah paip pecah.

“Jawapan Menteri Besar juga tidak relevan. Katanya, kerajaan negeri boleh tukar secara keseluruhan paip yang usang ini tapi mengambil kira pertimbangan ekonomi, hanya kira-kira 150 kilometer paip dapat ditukar setiap tahun.

“Jika mengambilkira purata 150 kilometer setahun untuk gantikan sekurang-kurangnya 6,000 kilometer paip usang ini, maka rakyat Selangor perlu menunggu sehingga 40 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Basith, dalam jawapan lisan DUN Selangor pada Mac lalu, sebanyak RM193 juta diperuntukan untuk kerja penggantian paip melibatkan sepanjang 118 kilometer telah dianugerahkan tender dan 70 kilometer lagi masih dalam fasa merangka kerja penggantian paip oleh Air Selangor.

“Mahal juga kos tukar paip usang ini iaitu hampir RM1 juta untuk satu kilometer. Cuma sebagai negeri kaya yang mempunyai pendapatan tahunan sebanyak RM2 bilion lebih, isu air ini perlu diberi keutamaan sebab melibatkan kepentingan rakyat.

“Apa perancangan kerajaan negeri untuk mempercepatkan lagi kerja ini? Jika tidak mampu menguruskan isu air ini dengan baik, rakyat Selangor perlu memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk membawa hasrat rakyat ini,” ujarnya.

Katanya, Sultan Selangor sudah pun berkenan membubarkan DUN Selangor Jumaat ini, maka gendang pilihan raya sudah dipalu dan ini masanya untuk rakyat memilih masa depan lebih baik. – MalaysiaGazette