Wan Surya Wan Mohd Radzi

KUALA LUMPUR – Institusi-institusi kerajaan mesti bertanggungjawab sepenuhnya terhadap wang yang dibelanjakan kerana setiap perbelanjaan haruslah memberi impak positif kepada kehidupan rakyat Malaysia.

Justeru, sektor awam perlu beroperasi dengan kompeten, amanah, jujur dan berintegriti.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, Jabatan Audit Negara akan sentiasa peka dan prihatin dalam menjalankan kuasa pengauditan untuk memeriksa dan menyiasat pengurusan wang awam dengan tumpuan kepada kepentingan rakyat dan akauntabiliti kementerian dan jabatan kerajaan terhadap wang pembayar cukai yang dibelanjakan.

“Pengauditan ke atas penyata kewangan tahunan dan laporan prestasi agensi awam merupakan tanggungjawab utama yang digalas oleh Jabatan Audit Negara.

“Keutamaan saya pada ketika ini adalah untuk mengukuhkan peranan ini serta memastikan sistem audit sektor awam kekal mampan dan lestari,” katanya yang baharu dilantik menerajui jabatan ini pada 13 Jun lalu.

Wan Suraya berkata, beliau komited untuk bersama-sama warga Jabatan Audit Negara dalam usaha mentransformasi dan menstrukturkan semula sistem pengauditan serta memantapkan pengurusan kewangan negara.

Jabatan Audit Negara, jelasnya. akan terus menjalin kerjasama dengan semua pihak termasuk agensi awam dan badan lain yang berkaitan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

“Berbekalkan pengetahuan dan pengalaman selama 29 tahun dalam perkhidmatan awam termasuk jawatan terakhir saya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), saya komited dan beriltizam untuk memacu Jabatan Audit Negara menjadi sebuah institusi audit yang unggul,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast