Ronaldo. Foto Eurosport.

ICELAND – Bintang dunia, Cristiano Ronaldo mencipta sejarah apabila muncul penampilan antarabangsa ke-200 sekali gus membantu Portugal menewaskan Iceland 1-0 awal pagi tadi untuk mengekalkan rekod tanpa kalah pada kelayakan Euro 2024.

Penyerang berusia 38 tahun itu turut menjaringkan gol antarabangsa ke-123 buatnya pada lewat perlawanan hasil rembatan dekat di depan pintu gol.

“Ini adalah satu pencapaian yang sukar dipercayai dan menakjubkan. Sudah tentu untuk menjaringkan gol kemenangan, ia lebih istimewa,” kata Ronaldo kepada UEFA.com.

Dia juga dihargai pada perlawanan itu apabila menerima sejambak bunga dan sijil untuk memperingati peristiwa penting itu, yang terbaharu dalam senarai panjang rekod buat bekas bintang Real Madrid dan Manchester United itu.

Untuk rekod, Ronaldo membuat penampilan sulung antarabangsa pada usia 18 tahun pada Ogos 2003.

Selepas menjaringkan dua gol dalam setiap perlawanan kelayakan Portugal pada Mac lalu, walaupun menentang Liechtenstein dan Luxembourg, Ronaldo gagal mencipta jaringan ketika menang 3-0 ke atas Bosnia-Herzegovina minggu lalu.

Portugal kini kekal menghuni tangga teratas Kumpulan J, menjaringkan 14 gol tanpa balas dalam empat kemenangan berturut-turut bagi aksi kelayakan Euro 2024 di Jerman tahun depan. – Agensi