SIAPA tidak kenal Rohana Jalil, penyanyi bersuara merdu yang berjaya dicungkil bakat melalui Bintang RTM.
Di zaman dunia hiburan yang dikuasai corong radio, televisyen, majalah dan surat khabar, kemunculan anak kelahiran Kota Tinggi memenangi pertandingan nyanyian paling berprestij ketika itu, mendapat liputan luas.
Penerampilan memakai gaun moden keemasan, berambut pendek dan berkasut tumit tinggi dengan menyanyikan rangkaian tiga buah lagu, Aku, Dia dan Malam, Ku dan Peminat dan Setulus Cintamu memulakan persembahan yang berjaya memenangi hati juri.
Beliau kemudian dinobat sebagai Juara Bintang RTM 1980.
Ia bukan permulaaan pemilik nama sebenar Dara Abdul Jalil kerana sebelum itu beliau pernah mencuba beberapa kali untuk menyertai pertandingan Bintang RTM.
Kali pertama pada Bintang RTM 1976, namun nasib tidak memihak kepadanya.
Berbekalkan bakat sebagai penyanyi di majlis perkahwinan dan keramaian serta pendedahan di kelab, Rohana Jalil tidak pernah patah semangat.
Selepas beberapa kali terkandas, beliau sendiri tidak menyangka dengan berpindah ke Kuala Lumpur dan usaha tanpa penat lelah membuahkan hasil, bakat sebenarnya berjaya dicungkil melalui kaca TV.
Dari saat itu bermulalah, perjalanan beliau sebagai penyanyi dalam industri hiburan tanah air sebaris dengan mereka yang popular di era 80 an seperti Noorkumalasari, Rosemaria, Allahyarham Sudirman dan ramai lagi.
Dalam sekelip mata, Rohana Jalil menjadi tumpuan rakyat Malaysia dan kemenangan itu juga menjadikan beliau menjadi artis piring hitam.
Sepanjang empat dekad bergelar anak seni dan penyanyi, perjalanan kariernya ada masa naik dan turun namun kemunculannya menyanyikan lagi ciptaan dan gubahan Allahyarham A. Ali, Rayuanku menjadi momentum penting populariti beliau. Ia begitu sinonim. Bila sebut sahaja Rohana Jalil mesti terlintas Rayuanku!
Kekuatan lirik, gubahan dan penyampaian melayakkannya menjadi finalis Anugerah Juara Lagu Ketiga (Muzik-Muzik 1988) dan seperti dijangka Rohana Jalil berjaya mendapat tempat kedua persembahan terbaik.
Beliau tewas kepada seorang lagi bakat yang dihasilkan Bintang RTM, Ramlah Ram yang menyanyikan lagu ‘Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu’.
Kemunculannya terus mengekalkan momentum beliau sebagai penyanyi ‘evergreen’ yang tidak terkesan dengan kemunculan muka-muka baharu dengan genre semasa.
Walaupun selepas lagu Rayuanku ada banyak lagi lagu lain yang popular, termasuk Naluri Cinta yang diduet bersama To’Ki, apabila disebut namanya, pasti terbayang ‘Rayuanku’.
Kini, hanya tinggal dendangan lagu jadi tanda ingatan.
Dalam usia 68 tahun, Rohana Jalil menghembuskan nafas terakhir jam 11.33 malam tadi selepas dua bulan menerima rawatan akibat kebocoran usus.
Sepanjang menerima berita dirawat, ramai peminat yang tidak henti-henti menitipkan doa Kak Ana akan kembali sembuh, namun Allah lebih menyayanginya.
Kini dunia seni suara tanah air kehilangan seorang penyanyi yang ‘versatile’ dengan gaya tersendiri.
Al Fatihah…-MalaysiaGazette