KAJANG – Satu sindiket penipuan tawaran kerja sambilan yang menyasarkan warga Vietnam tumpas selepas sebuah rumah teres di sini diserbu polis semalam.
Serbuan itu berjaya menahan seorang lelaki warganegara China dan 18 orang warganegara Vietnam termasuk enam wanita yang berusia antara 18 hingga 48 tahun.
Operasi itu dijalankan Bahagian Risikan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata sindiket ini menawarkan kerja sambilan yang tidak wujud dan menyasar mangsa dalam kalangan warga Vietnam.
“Mangsa yang tertarik dengan tawaran kerja itu akan dihubungi dengan menggunakan aplikasi Zalo iaitu platform sosial yang berpangkalan di Vietnam .
“Seterusnya mangsa akan ditawarkan kerja sambilan dengan membuat tugasan pembelian melalui laman web e-dagang Vietnam iaitu https://tiki.vn/ yang palsu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas sebanyak 15 set komputer pelbagai jenama, 35 unit telefon bimbit pelbagai jenis, satu pasport dan satu set kunci rumah bersama alat kawalan jauh yang disyaki digunakan untuk menipu dan memperdaya mangsa mereka.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membuat penipuan.
Kesemua suspek tersebut dibawa ke Mahkamah Kajang bagi tujuan reman bagi membantu siasatan lanjut.
“Pihak polis ingin mengingatkan kepada mana-mana individu agar tidak bekerja
dengan sindiket penipuan atas talian dan menjadikan pekerjaan di pusat panggilan
penipuan atas talian sebagai sumber pendapatan,” katanya. – MalaysiaGazette