Muhammad Fahmi Ramli, 29, dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah menumbuk kepala dan menghempas badan bapa kandungnyua ke tanah minggu lalu.

MELAKA – Padah menumbuk kepala dan menghempas badan bapa kandung ke tanah minggu lalu, seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Muhammad Fahmi Ramli, 29, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan cedera ke atas ayah kandungnya, Ramli Samad, 62, dengan menumbuk di kepala dan menghempas badannya ke tanah berbatu.

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 7.06 petang 13 Jun lalu di No 2154-2 Jalan Bunga Raya 4, KM4, Kampung Semabok, daerah Melaka Tengah.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang mana sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal kerana mempunyai rekod lampau atas kesalahan sama. Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Sharda Shienha mengarahkan tertuduh dipenjara lapan bulan dari tarikh sabitan hari ini.

Dalam prosiding sama, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah seksyen sama iaitu menumbuk bapanya di alamat sama pada pukul 11.05 malam 15 Mei 2022.

Tertuduh turut mengaku tidak bersalah telah menggunakan kekerasan jenayah dengan cara membaling objek seperti batu, kayu dan besi terhadap mangsa sama di alamat dan masa sama yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 352 kanun sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sehingga tiga bulan penjara atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah memberikan diri sendiri dadah jenis methamphetamine di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Melaka Tengah pada kira-kira pukul 4.45 petang 15 Jun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan dikenakan pengawasan polis maksimum tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Fiqri Hakim dalam hujahannya menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 352 manakala RM8,000 atas kesalahan dadah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,500 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 24 Julai ini untuk sebutan kes. – MalaysiaGazette.

1 Komen

  1. Anak tumbok kepala dan hempas bapa ke tanah? Anak Pak Chik PASTI di sekolah tak pernah kena denda atau dirotan oleh guru kerana bimbang di hayun Pak Chik. Anak dia handal PASTI bapa dia pahlawan…. P.Ramle lama dah buat filem .. “jika 20 tahun dulu….” kini dah terlambat…. untung bapa dia “DAPAT JUGA MERASA” buah tangan anaknya… sebaiknya bapa dia Saman HAKIM tu.. macam berlaku disekolah .

Comments are closed.