KUANTAN – Sebelum meninggal dunia dalam kemalangan di lampu isyarat Felda Lepar Hilir pada 13 Jun lalu, Siti Nur Alia Saffiyah Zulkifli baru sahaja lima hari bekerja.
Namun kerana majikannya mencarum berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Pahang – warisnya berhak mendapat faedah menerusi Skim Bencana Pekerjaan.
Pengarah PERKESO Pahang, Hisham Abdul Rahman berkata, pemprosesan faedah milik Siti Nur Alia Saffiyah dibuat pada kadar segera selepas berita kemalangan tersebut dilaporkan oleh media.
Proses yang sama dilakukan PERKESO terhadap pampasan melibatkan Siti Mazurah – kakak Siti Nur Alia yang turut meninggal dunia dalam kemalangan yang sama, katanya.
Hisham Abdul Rahman
Menurut Hisham, langkah proaktif diambil dengan mendapatkan maklumat dan membuat semakan caruman kedua-dua beradik itu.
”Hasil semakan mendapati waris kedua-dua arwah layak menerima faedah PERKESO menerusi Skim Bencana Pekerjaan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) kerana semasa kemalangan berlaku, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat kunjungan ke rumah keluarga kedua-dua arwah di Felda Lepar Hilir 1 petang semalam bagi menyerahkan baucar bayaran faedah-faedah PERKESO kepada keluarga mangsa.
Hadir sama Pegawai Dietetik Majlis Sukan Negara (MSN), Muhammad Khalis Jasmiad.
Hisham juga menasihati kepada mana-mana majikan yang belum mendaftar pencaruman berbuat demikian sebelum 30 Jun ini bagi mengelak tindakan diambil menerusi Ops Kesan.
Pada 13 Jun lalu, dua beradik berkenaan, Siti Mazurah Zulkifli, 30, seorang pramusaji dan adiknya Siti Nur Alia Saffiyahi, 18, bekerja sebagai jurujual meninggal dunia setelah kereta dinaiki mereka dirempuh treler.

Dalam pada itu, caruman arwah Siti Nur Alia melayakkan kedua ibu dan bapanya, Zulkifli Ismail dan Noor Zaimah Yunus@Hasbullah menerima bayaran Faedah Orang Tanggungan (FOT) sepanjang hayat dan Faedah Pengurusan mayat (FPM) sebanyak RM2,000.
Manakala faedah caruman Siti Mazurah pula diwariskan kepada suaminya, Khairul Auzuddin Jasni, 30, yang layak menerima bayaran FPM sebanyak RM2,000 untuk sekali bayar dan bayaran faedah FOT seumur hidup bermula Julai ini.
”Arwah bekerja setahun setengah di Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari dan saya sempat berhubung petang sebelum kejadian. Bersyukur terima faedah caruman arwah,” kata Khairul Auzuddin.
Faedah FOT memberi perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan atau suatu penyakit khidmat yang berpunca atau terbit daripada pekerjaannya.
Orang tanggungan layak menerima faedah ini sekiranya pekerja yang dilindungi PERKESO meninggal dunia akibat bencana berkaitan pekerjaan.
Manakala FPM merupakan satu faedah di bawah Akta 4 yang dibayar kepada waris apabila pekerja disahkan meninggal akibat bencana kerja atau meninggal sebelum mencapai umur 60 tahun mengikut kelayakan caruman.
Ia juga dibayar kepada waris apabila pekerja yang menerima bayaran berkala Faedah Hilang Upaya atau Pencen llat meninggal dunia tanpa mengira umur. – MalaysiaGazette