Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Sesiapa sahaja yang mempunyai dua kewarganegaraan dibenarkan memilih salah satu daripada negara yang mereka mahu apabila usia mencapai 18 tahun.

Itu antara cadangan dalam Pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan kewarganegaraan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Situasi itu berlaku kepada anak yang salah seorang daripada ibu bapanya rakyat Malaysia dan seorang lagi rakyat luar negara.

Ini kerana negara ini tidak membenarkan rakyatnya ada dua kewarganegaraan, kata Saifuddin.

“Ini peluang pindaan secara komprehensif. Jika had umur mengundi ditetapkan umur 18 tahun, kita juga masukkan pada usia yang sama seseorang yang ada dua warganegara (termasuk warga Malaysia) kena memilih salah satu daripadanya bukan lagi pada usia 21 tahun seperti sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Putrajaya semalam.

Saifuddin telah membentangkan cadangan itu kepada Parlimen semalam dan mengetuai satu jawatankuasa Kabinet mengenainya yang turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan wakil Sabah dan Sarawak.

Wakil Sarawak adalah Datuk Seri Nancy Shukri manakala Sabah pula Datuk Armizan Mohd Ali.

Selain itu, katanya, beberapa jawatankuasa teknikal juga ditubuhkan selain sesi libat urus mengenainya masih diteruskan.

Pada 12 Julai nanti, cadangan pindaan itu akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Majlis Raja-Raja kerana melibatkan isu kewarganeraan sebelum ke Parlimen.

Saifuddin beranggapan sudah sampai masa undang-undang berkaitan kewarganegaraan yang digubal pada era 1950-an dipinda. – MalaysiaGazette