Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR – Hampir RM6 juta peruntukan subsidi minyak kerajaan dijimatkan susulan pelaksanaan dua projek rintis stesen minyak tanpa subsidi di Perlis sejak Februari lepas.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, walaupun inisiatif yang diperkenalkan itu bersifat liberal namun ia berkesan untuk mengekang ketirisan.

“Dalam dua bulan pertama ada penurunan jualan minyak diesel dan RON 95 di stesen yang bersubsidi dengan penjimatan masing-masing RM1.77 juta dan RM3.98 juta dan pada masa sama di stesen minyak tanpa subsidi ada peningkatan (jualan) diesel dan juga RON 95.

“Maksudnya di sini kenderaan asing itu sendiri berbuat demikian kerana harga bahan bakar di Thailand lebih mahal.

“Jadi, macam mana pun mereka datang dan beli di negara kita walaupun tanpa subsidi (kerana) harganya lebih murah dari negara mereka,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Hussin Ismail yang ingin tahu secara terperinci mengenai mekanisme pelaksanaan stesen minyak tanpa subsidi serta mekanisme pengawalan minyak bersubsidi.

Dua stesen minyak yang terlibat dengan projek rintis tersebut ialah di Padang Besar dan Wang Kelian, Perlis.

Sementara itu, Fuziah berkata, kementerian turut melaksanakan Ops Tiris sebagai satu lagi mekanisme dalam mengawal ketirisan subsidi bahan bakar.

Ujarnya, sepanjang Ops Tiris dilaksanakan pada 1 Mac hingga 31 Mei lalu, sebanyak 6,571 pemeriksaan dilaksanakan di mana terdapat 221 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM5.41 juta dan 198 tangkapan dilakukan. – MalaysiaGazette