KUALA LUMPUR – Kritikan dan kelantangan suara beberapa pemimpin UMNO menegur Kerajaan Perpaduan sejak kebelakangan ini merupakan hak mereka sebagai seorang rakyat di negara ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, apa yang disuara itu harus didengari kerajaan bagi membolehkan penambahbaikan dilakukan.
“Semua orang lantang baguslah. Itu tanda di mana ada kekurangan kita perlu tambah baik.
“Saya berharap semua rakyat kena lantang (bersuara), kerana hak rakyat untuk mendapatkan kerajaan yang lebih baik,” katanya. di sini, hari ini.
Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas kritikan yang dibuat veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad terhadap Kerajaan Perpaduan yang didakwanya tidak cekap dalam pengendalian urus tadbir negara.
Shahrir berkata, ketika menjadi pembangkang, ada parti yang sering mempertikaikan kerajaan tetapi apabila sudah menjadi kerajaan, tidak membuat kerja dengan baik.
Menurut Asyraf, kritikan yang konstruktif perlu diberikan jika terdapat kekurangan pada kerajaan. – MalaysiaGazette