Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Rundingan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang masih ‘tersangkut’ dijangka selesai apabila rundingan pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) diadakan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ada dua kerusi masih diselesaikan di Selangor dan jumlah yang sama di Kedah.

“Biasalah dalam rundingan hujung-hujung ada dua, tiga kerusi sangkut, sudah selesai bincang tapi belum ada kata putus.

“Saya yakin dengan satu mesyuarat antara kepimpinan PH dan BN, ia akan selesai,’ katanya dalam pertemuan dengan editor di Putrajaya semalam.

Buat masa ini, Saifuddin berkata, perbincangan antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi belum dibuat.

Ini kerana Ahmad Zahid masih bercuti sehingga esok, katanya.

“Yang saya tahu di Kedah dua kerusi, di Selangor juga dua masih bertindih. Kalau di Kedah sebelum ini empat, tinggal dua. Di Selangor, asalnya tiga, sekarang tinggal dua. Negeri Sembilan saya tak ada maklumat.

“Sekembalinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Pengerusi BN) dari percutiannya, akan selesai (isu pertindihan). PKR sendiri akan ada mesyuarat MPP (Majlis Pimpinan Pusat) Ahad ini. Di situ kami akan diberi maklum mengenai ini. Namun saya tak nampak kerumitan untuk selesaikan pertindihan kerusi ini,” jelasnya.

Menurutnya, proses perbincangan antara PH dan BN jauh lebih mudah berbanding semasa mereka berbincang dengan Pas semasa kedua-dua parti itu bekerjasama.

“Sebenarnya rundingan dengan UMNO paling mudah. Kalau satu paling susah, 10 paling senang, rundingan dengan UMNO terletak pada (skala) 9.5. Maknanya senang.

“Paling penting apabila berunding dengan UMNO, dia letak semua hujah atas meja. Apabila runding dengan Pas, dia ada laci bawah meja lagi. Sebab itu ada masalah,” katanya yang juga Menteri Dalam Negeri semasa pertemuan dengan editor media di Putrajaya semalam.

Ditanya mengenai peluang dalam PRN kali ini, Saifuddin yakin mereka boleh menang sekiranya tidak ada pengkhianatan.

Beliau merujuk kepada kekalahan PH apabila dikhianati Pas dalam bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

Ia menyebabkan calon PKR kalah walaupun sebelum itu Pas telah bersetuju tidak meletakkan calon namun akhirnya parti itu mencalonkan menantu kepada presidennya.

Kes yang sama juga berlaku apabila PKR atas arahan Datuk Mohamed Azmin Ali yang meletakkan calon di Sarawak.

“Dalam sejarah kami dengan Pas berlaku pengkhianatan oleh Pas. Kerusi Kota Damansara, kami kalah, calon kami Dr Nasir (Hashim) kalah apabila (Presiden Pas, Tan Sri Abdul) Hadi (Awang) letak menantu dia di situ, UMNO menang. Awak dah berjanji setuju, awak khianat, habislah.

“PKR pun buat begitu kepada DAP ketika Azmin di Sarawak. Sudah runding semua, selesailah. Kemudian dia keluarkan watikah kepada calon PKR untuk bertanding tiga penjuru menentang DAP. Siapa buat? Azmin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast