Aziz Tambi didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah menembak mati seekor kucing milik jirannya menggunakan senapang angin, tahun lalu.

MELAKA – Seorang bekas tentera didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah menembak mati seekor kucing jirannya menggunakan senapang angin pada tahun lalu.

Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh Aziz Tambi, 63, membuat pengakuan pada pertuduhan pindaan itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan penganiayaan terhadap haiwan iaitu menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap seekor kucing milik Amran Majid, 45, dengan cara menembak dengan senapang angin.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2.30 petang pada 18 Jun 2022 di sebuah rumah di Lorong Mat Lajis, Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah.

Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda minimum RM20,000 sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Bagaimanapun, peguam, Ishak Mohd. Kari yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan dengan alasan tertuduh telah lama bersabar dengan jirannya selain pernah berjasa kepada negara dan menerima pingat penghargaan.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM20,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar.

Tertuduh membayar denda yang dikenakan.

Pada 21 Jun tahun lalu, media melaporkan dua beranak dicekup polis selepas disyaki membunuh seekor kucing dengan menggunakan selaras senapang angin.

Dalam kejadian sekitar pukul 2.30 petang itu, suspek yang dan anaknya berumur 27 tahun ditahan selepas kucing milik jiran mereka disahkan mati ketika dibawa ke klinik haiwan selepas mengalami muntah darah dan luka di belakang badan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati tindakan dilakukan dua beranak itu susulan tidak berpuas hati dengan kucing betina berkenaan masuk ke rumah mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast