Mohd Nor Ismail

MELAKA – Menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha minggu depan, tempahan lembu bagi ibadah korban dilihat terus merosot lebih 50 peratus berbanding tahun lalu.

Ini diakui sendiri beberapa penternak lembu di negeri ini yang mendakwa keadaan itu berpunca daripada harga haiwan itu yang semakin meningkat diburukkan lagi dengan kelemahan ekonomi rakyat.

Penternak lembu, Mohd Nor Ismail, 54, berkata, kenaikan harga ternakan tidak dapat dielakkan ekoran peningkatan harga makanannya sejak setahun lalu.

“Kalau nak bandingkan harga makanan dulu dengan sekarang memang jauh bezanya kerana dulu saya beli lebih kurang RM18 atau RM20 sekampit 50 kilogram, tapi sekarang boleh cecah RM80.

“Kita penternak pun kos operasi makanan sahaja sudah 70 peratus dan bakinya 30 peratus untuk pengurusan dan sebagainya sebab itu bila harga makanan melambung, kita tiada pilihan,” katanya ketika ditemui di kandang lembunya di Klebang, di sini, hari ini.

Mustafa Mahmud

Bagi Mustafa Mahmud, 62, yang terlibat dalam bidang ternakan lembu sejak 30 tahun lalu di Kampung Batang Tiga, setakat ini, hanya tujuh ekor lembu dijual untuk Aidiladha berbanding 22 ekor lembu pada tahun lalu.

Menurutnya, dengan kos operasi yang semakin meningkat ekoran peranan orang tengah sebagai pembekal makanan haiwan dia terpaksa menjual lembu antara RM5,000 hingga RM6,500 seekor.

“Selain itu, faktor kenaikan kos sara hidup menyebabkan ramai yang tidak mampu untuk melaksanakan ibadah korban ini malah, kami sebagai penternak juga terkesan dengan cabaran ekonomi hari ini.

“Hendak jual harga sama macam sebelum ini pun susah sebab kos upah pekerja, peranan orang tengah dan makanan lembu semua sudah meningkat,” katanya.

Muhammad Akmal Che Mustapha

Bagi seorang lagi penternak, Muhammad Akmal Che Mustapha, 34, masalah kemerosotan tempahan yang dialami tahun ini dianggap terburuk sejak terlibat dalam bidang penternakan lembu 10 tahun lalu.

“Kemerosotan yang dialami tahun ini memang terlalu banyak sampaikan saya jual satu bahagian RM550 pun masih tiada permintaan juga mungkin kerana kuasa membeli rakyat juga telah berkurang,” katanya. – MalaysiaGazette.