KUALA LUMPUR – SACC Convec Sdn. Bhd kini menyediakan ruang acara pelbagai guna yang dinamakan Temu Jelatek The Event Space, di aras 2, pusat beli-belah Datum Jelatek.
Ketua Pegawai Eksekutif SACC Convec, Nor Azlina Amran berkata, Temu Jelatek yang mempunyai kapasiti 1,000 tetamu itu boleh digunapakai sebagai ruang pameran serta resepsi perkahwinan.
“SACC Convec akan menyediakan event space dan menjenamakan ia sebagai Temu, seperti yang orang kata tempat bertemu.
“Dengan pakej serendah RM39, ia termasuk dekorasi luar dan dalam, makanan yang dimasak oleh Chef berpengalaman, pelamin, rostrum, PA System, red carpet, kek kahwin, meja pendaftaran, dan meja doorgifts serta LED TV untuk paparan montaj kepada tetamu yang hadir, serta ruang menunggu VIP lounge.
“Temu Jelatek juga akan berkolaborasi dengan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk menyediakan tempat penginapan sementara di Residensi Datum Jelatek,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Temu Jelatek The Event Space, di pusat beli-belah Datum Jelatek, di sini hari ini.
Hadir merasmikan Temu Jelatek, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas, merangkap Pengerusi SACC Convec Sdn. Bhd.
Nor Azlina berkata, bakal pengantin yang melangsungkan majlis perkahwinan di Temu Jelatek sehingga 31 Disember 2024 akan menikmati diskaun 20 peratus sekiranya tempahan dibuat bermula 1 Julai depan, sehingga 31 Disember 2023.
“Manakala potongan harga sebanyak 10 peratus sekiranya tempat berserta deposit dibuat bermula 1 Januari 2024 sehingga 30 Jun 2024,” tambahnya.
Dalam pada itu, menurut beliau, Temu Jelatek bakal menaja majlis resepsi perkahwinan anak lelaki selebriti tanahair, Didie Alias yang dijadual berlangsung pada 2 September depan akan ditaja Temu Jelatek Event Space sebanyak RM500,000. -MalaysiaGazette