KUALA LUMPUR – Pengurangan cukai taksiran sebanyak 25 peratus diberikan kepada pemilik rumah mampu milik di ibu kota bermula penggal kedua tahun 2023 iaitu dari Julai hingga Disember ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memutuskan inisatif itu khusus untuk kategori kediaman rumah mampu milik yang telah siap selepas tahun 2014 sehingga sekarang.
Selain itu, pengurangan 25 peratus itu diberi sehingga penilaian semula dilaksanakan kerajaan.
“Pengurangan cukai taksiran ini akan memberikan manfaat kepada 25,677 pemilik rumah mampu milik di Kuala Lumpur.
“Inisiatif pengurangan cukai ini turut melibatkan pengurangan hasil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBBKL) sebanyak RM2.067 juta setahun.
“Pengurangan cukai taksiran kediaman rumah mampu milik ini dapat mengurangkan beban kos sara hidup warga B40 dan M40 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sesi Temu Mesra Perdana Menteri bersama pemilik rumah mampu milik WPKL dan perasmian Tempat Letak Kereta Taman Tasik Metropolitan Kepong hari ini.
Sementara itu, dalam kenyataan, kategori pemilik rumah mampu milik yang layak bagi inisiatif itu adalah RUMAWIP, PRIMA, PPAM dan Residensi Wilayah di Kuala Lumpur.
Perdana Menteri juga menzahirkan harapan untuk melihat Kuala Lumpur dikenali sebagai bandar raya contoh yang prihatin dan mejaga nasib rakyat keseluruhannya.
Ujar beliau, bandar metropolitan itu perlu peka dan adil kepada semua kategori rakyat bagi memastikan kesenjangan antara golongan paling kaya dan miskin tidak terus melebar.
“Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur perlu dikenali sebagai bandaraya contoh dengan kebersihannya, kepesatan pembangunan, mempercepat kelulusan, elak kerenah pentadbrian dan prihatin kepada nasib rakyat.
“Kita perlu pastikan rumah mewah disediakan supaya mereka yang mampu dan kaya boleh hidup tetapi kita juga kena pastikan rumah rakyat miskin dan rumah mampu milik disediakan barulah ada erti makna pembangunan,” jelasnya. – MalaysiaGazette