BUKIT MERTAJAM – Polis Kontinjen Pulau Pinang sudah bersiap siaga bagi menghadapi kehangatan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, lebih 6,000 pegawai dan anggota polis negeri ini akan ditugaskan untuk memastikan keselamatan dan kelancaran sepanjang PRN nanti.
Jelas beliau, pihaknya juga akan memohon elemen bantuan daripada Bukit Aman serta kontinjen lain bagi membantu anggota sedia ada di negeri ini sekiranya perlu.
“Kita memang telah buat persiapan untuk menghadapi PRN bermula daripada proses penamaan calon, kempen, undi awal, hari pengundian serta pasca PRN.

“Setakat ini, kekuatan kita menghadapi PRN adalah lebih 6,000 anggota dan kalau perlu kita akan minta bantuan kontinjen lain.
“Cuma secara umum, kita di Kontijen Pulau Pinang memang sudah buat segala persiapan untuk menghadapi PRN,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.
Mengulas lanjut Kok Chin berkata, Op Cantas juga akan dilaksanakan sepanjang PRN bagi memastikan tiada sebarang kekecohan berlaku.
“Kita akan lakukan Op Cantas dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman supaya tindakan awal dilakukan ke atas sesuatu yang kita fikir boleh mencetuskan kekecohan.
“Selain itu, terdapat juga bantuan daripada pasukan pemantau udara menggunakan helikopter dan dron, pasukan Light Strike Force (LSF), pasukan Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) dan pasukan lain termasuk pasukan pencegahan jenayah untuk negeri ini.
“Sehubungan itu, kita harap dan nasihatkan semua pihak untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan agar proses PRN nanti berlangsung dengan lancar,” katanya.
Sebelum ini Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memaklumkan akan membubarkan Dewan Undangan negeri pada 28 Jun ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum negeri.
Beliau akan mempersembahkan perkara itu kepada Yang dipertua negeri, Tun Ahmad Fusi Abdul Razak dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette