WASHINGTON – Kapal selam yang hilang dalam perjalanan ke lokasi bangkai kapal Titanic terdampar di dasar laut mengalami ‘bencana tekanan’, kata Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS), menyaksikan penamatan misi pencarian lima orang yang berada di dalamnya.
Sebuah kenderaan kawalan jauh menemui bahagian belakang Titan di dasar laut, kira-kira 1,600 kaki (488 meter) dari bahagian hadapan Titanic, kata Laksamana John Mauger kepada pemberita di Boston, Massachusetts.
Serpihan ditemui berhampiran lokasi ‘konsisten dengan bencana kehilangan kebuk tekanan’, ujarnya.
“Berikutan itu, kami dengan segera memaklumkan kepada keluarga bagi pihak Pengawal Pantai AS dan keseluruhan gabungan pemerintahan. Saya mengucapkan takziah kepada ahli keluarga,” kata Mauger.
Kapal selam Titan membawa empat penumpang dan seorang pemandu hilang pada Ahad lalu.
Semua yang berdada dalam kapal selam itu dipercayai maut berikutan perbezaan tekanan.
Terdahulu, syarikat pengembara yang memiliki kapal selam itu, OceanGate dalam satu kenyataan berkata, ia percaya ‘telah kehilangan’ kru dan menyifatkan beliau sebagai ‘peneroka tulen yang berkongsi semangat pengembaraan dan mempunyai minat pengembaraan yang mendalam dan melindungi laut dunia’.
Ditanya mengenai kemungkinan menemui mayat kru, Mauger memberi penekanan terhadap ‘persekitaran yang ganas di dasar laut’ namun berkata, pihak berkuasa meneruskan pencarian di kawasan serpihan ditemui.
Terdahulu, syarikat pengembara yang memiliki kapal selam itu, OceanGate dalam satu kenyataan berkata, ia percaya ‘telah kehilangan’ kru dan menyifatkan beliau sebagai ‘peneroka tulen yang berkongsi semangat pengembaraan dan mempunyai minat pengembaraan yang mendalam dan melindungi laut dunia’. – Agensi