GEORGE TOWN – Rakan sekutu Kerajaan Perpaduan, UMNO, didakwa tidak diberikan sebarang kerusi untuk bertanding dalam tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Permatang Pauh menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang.
Tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) itu adalah Seberang Jaya, Penanti dan Permatang Pasir.
Sumber dalaman parti itu memaklumkan, UMNO pada mulanya menjangkakan diberi peluang untuk bertanding satu kerusi DUN di kawasan berkenaan berdasarkan hasil perbincangan antara Pakatan Harapan (PH) dan parti itu dalam tiga pertemuan sejak 2 Mei lalu.
Bagaimanapun, sumber mendakwa, keputusan terbaru dimaklumkan ketiga-tiga DUN itu akan dipertandingkan oleh calon daripada parti komponen PH, sekali gus menyaksikan kegagalan UMNO memperoleh kerusi.
“UMNO sekarang jadi picisan, semua kerusi dalam DUN di Permatang Pauh diberikan kepada calon PH.
“Kegagalan rundingan menyebabkan berlakunya pembahagian kerusi secara tidak adil hingga menyebabkan tiada satu pun wakil UMNO daripada tiga kerusi DUN tersebut,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Tambah sumber itu, kegagalan ini juga ibarat memberi bola tanggung kepada Perikatan Nasional (PN) untuk menang bersih di kawasan tersebut.
“Tagline Zero PN di Pulau Pinang boleh bertukar jadi Zero Malay Seat (kerusi Melayu) buat kerajaan Perpaduan di negeri ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan membubarkan DUN pada 28 Jun ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, DUN Seberang Jaya dimenangi calon daripada PKR, Dr. Afif Bahardin namun beliau menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas itu manakala DUN Penanti, Dr. Norlela Ariffin (PKR) dan Permatang Pasir, Faiz Fadzil (Amanah). – MalaysiaGazette