KUALA LUMPUR – Polis menahan 77 individu kerana disyaki terlibat dengan sindiket penipuan penukaran mata wang (forex) dalam talian, selepas serbuan di sebuah kondominium sekitar Lembah Klang, kelmarin.
Penahanan 43 lelaki dan 34 wanita berumur antara 17 hingga 37 tahun dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields dan Bahagian Risikian/Operasi.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, sindiket itu bergiat aktif dalam jenayah ini sejak lebih setahun lalu.
Penipuan pelaburan forex dalam talian ini menggunakan laman sesawang, mensasarkan pelabur dari dalam dan luar negara.
Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas 35 set komputer, 29 komputer riba, seunit tablet, 20 unit telefon bimbit, seunit router, seunit modem, tujuh unit buku pasport dan 38 pas pekerja.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420/120 Kanun Keseksaan kerana menipu dan kesemua suspek kini ditahan reman mulai 23 sehingga 24 Jun 2023 bagi tujuan siasatan selanjutnya.
Amihizam menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan sebarang tawaran pelaburan di laman sesawang sosial yang tidak jelas dan menjanjikan pulangan wang yang lumayan.
Sebaliknya, beliau meminta orang ramai membuat semakan dengan agensi atau institusi perbankan sebelum membuat keputusan untuk melabur serta jangan mendedahkan data peribadi atau maklumat perbankan kepada mana-mana individu yang tidak dikenali. – MalaysiaGazette