PUTRAJAYA – Malaysia dijangka berdepan laluan sukar bagi melepasi saingan peringkat kumpulan seterusnya layak ke suku akhir apabila diundi bersama juara bertahan Argentina dan bekas juara, Australia pada Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023, di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Disember ini.

Menurut undian Persekutuan Hoki Antarabanga (FIH), hari ini, kejohanan bermula 5 hingga 16 Dis ini akan menyaksikan Kumpulan A terdiri daripada tuan rumah Malaysia, Argentina, Australia serta Chile.

Pencapaian terbaik skuad ‘Young Tigers’ dalam kejohanan tersebut adalah meraih tempat keempat sebanyak tiga kali iaitu pada edisi 1979 di Versailles, Perancis; edisi 1982 ketika menjadi hos dan edisi 2013 di New Delhi, India.

Skuad negara, bimbingan Muhamad Amin Rahim, akan membuka kempen menentang Chile pada 5 Dis disusuli perlawanan menentang Argentina sehari kemudian dan Australia dalam aksi terakhir kumpulan pada 8 Dis.

Muhammad Ami, yang ditemui pemberita selepas majlis undian tersebut, berkata mereka setidak-tidaknya perlu mengetepikan cabaran Argentina atau Australia bagi menyahut cabaran diletakkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk mara ke separuh akhir kejohanan tersebut.

“Jika kita berpeluang ‘kick’ salah satu pasukan, kita ada peluang dapat naib juara kumpulan. Kita mungkin ada peluang apabila menentang Australia memandangkan Argentina sebagai juara bertahan pasti akan turun dengan skuad terkuat mereka.

“Argentina sangat tidak menentu, cara mereka bermain sangat berbeza daripada pasukan Eropah dan Asia khususnya dari segi taktikal,” katanya sambil menasihatkan anak buahnya agar tidak memandang remeh cabaran Chile.

Mengenai persediaan menjelang kejohanan itu, beliau berharap agar skuadnya dapat menumpukan aspek mempertingkatkan tahap fizikal pada bulan ini dan Julai selain bakal mengadakan siri jelajah Eropah di Jerman, Belanda dan Belgium, Ogos ini.

Katanya, setakat ini hanya Jerman yang sudah menjawab permohonan mereka mengadakan perlawanan persahabatan dan masih menanti jawapan dari Belanda serta Belgium manakala mereka juga bakal beraksi pada Piala Sultan Johor, Oktober ini.

Dalam pada itu, juara enam kali, Jerman diletakkan dalam Kumpulan B bersama naib juara 2013, Perancis, diikuti Afrika Selatan dan Mesir manakala Kumpulan C membariskan juara dua kali, India yang diundi bersama-sama Korea Selatan serta Kanada.

Kumpulan D yang dilabel kumpulan maut pula menyaksikan juara dua kali Belanda diundi bersama juara 2016, Belgium, juara 1979 Pakistan dan New Zealand.

Hanya juara dan naib juara kumpulan setiap kumpulan layak ke suku akhir manakala selebihnya akan beraksi bagi peringkat klasifikasi tempat kesembilan hingga ke-16. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast