hutang kerajaan
Anwar Ibrahim

SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Kerajaan Perpaduan pimpinannya tidak akan menambah hutang sedia ada berjumlah kira-kira RM1.5 trilion yang ditanggung negara.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, amalan berhutang secara tidak bertanggungjawab oleh pentadbiran terdahulu tidak akan diteruskan.

“Apa yang dilakukan dalam Jemaah Menteri? Kita kata jangan hutang lagi kerana hutang itu siapa akan bayar?

“Sekarang bebannya dan anak-anak kita. Janganlah kita lahir, tanggungjawab pertama bayar hutang, sebab itu kita kata jangan hutang,” katanya ketika berucap melancarkan program Sentuhan Kasih Desa di Dataran Nilai sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Anwar menambah, situasi hutang yang dihadapi negara ketika ini adalah berbeza dengan apa yang berlaku ketika era pentadbiran Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Menurut beliau, kerajaan ketika itu membuat pinjaman untuk membangunkan negara khususnya kawasan luar bandar termasuk mewujudkan tanah rancangan Felda.

“Jadi, orang tak soal hutang yang diperlukan mengikut keupayaan kita untuk membangunkan negara,” jelasnya.

Anwar memberitahu, keadaan adalah berbeza dengan apa yang berlaku sepanjang tempoh 23 bulan sebelum Kerajaan Perpaduan berkuasa.

Beliau mendakwa, pentadbiran terdahulu berhutang untuk melaksanakan projek-projek mega yang kosnya melampau dan ditambah dengan ‘komisen’ berlebih-lebihan.

“Kemudian hutang Jana Wibawa, lingkuplah ekonomi negara,” katanya.

Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan juga tidak akan mengurangkan defisit di bawah kadar 5.0 peratus walaupun ada pihak yang mempersoalkan keputusan itu.

Menurut beliau, pengurangan defisit ke kadar yang lebih rendah akan menyebabkan peruntukan bagi pembangunan luar bandar, pendidikan dan kesihatan terpaksa dikurangkan.

“Saya tak sanggup, Jemaah Menteri kata kita potong projek mega yang tidak mendesak kita tambah projek pembangunan desa untuk pendidikan sekolah anak-anak kita, kita tambah RM2 bilion,” jelasnya.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berharap rakyat memahami soal ekonomi negara bagi mengelakkan mereka daripada terus ditipu dan termakan fitnah pihak tertentu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. ANWAR MUNAFIK berkata kita TIDAK AKAN bersama PERASUAH PENYAKAU PENYAMUN HOi ya hoi akhirnya batang tubuh YANG berkenaan di peluk cium
    saya ulang saya ulang dengar boleh percaya jangan

Comments are closed.