Kasim merakamkan gambar bersama para penerima hadiah.

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhasrat untuk menjadikan kampusnya sebagai kampus tanpa tunai.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, UMS telah melaksanakan persekitaran bayaran tanpa tunai sejak tahun 2019 sebagai menyokong hasrat
Kementerian Pendidikan Tinggi bagi transformasi ekosistem transaksi kewangan di institusi pengajian tinggi (IPT) ke arah kampus tanpa tunai.

“Pelaksanaan program tanpa tunai ini adalah seiring dengan perkembangan gaya hidup digital serta memberi manfaat dengan melakukan transaksi yang ringkas dan cepat untuk
segala urus niaga dalam kampus.

“Selain itu, usaha ini juga mampu mengubah tingkah laku berbelanja pelajar dan kakitangan yang lebih selamat dan membudayakan penyimpanan rekod urus niaga secara lebih teratur,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Cashless Campus anjuran UMS dan Payment Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) di
Bangunan Canselori UMS.

Katanya lagi, berdasarkan semakan, peratusan terimaan bagi UMS secara tanpa tunai telah mencapai hampir 100 peratus.

Namun begitu, persekitaran terimaan tanpa tunai dalam kalangan peniaga dalam premis universiti masih perlu ditingkatkan.

“Justeru itu, sokongan dan tajaan yang diberikan oleh pihak PayNet dalam program kampus tanpa tunai UMS sepanjang tahun 2022 amat dihargai, kerana penganjuran kempen-kempen yang telah dilaksanakan telah meningkatkan kefahaman dan mempromosikan bayaran secara tanpa tunai dalam kalangan warga universiti.

“Usaha ini juga mampu mendidik warga universiti bahawa transaksi tanpa tunai adalah kaedah bayaran yang sepatutnya menjadi pilihan kerana lebih mudah, cepat dan
selamat tanpa perlu membawa atau mengeluarkan wang tunai dari ATM,” kata Kasim.

Terdahulu, Bendahari UMS, Badrul Hisham Ismail memberitahu, pada tahun 2022, pihak Paynet telah menaja dua kempen tanpa tunai di UMS, iaitu “Kempen MyDebit, FPX, JomPAY and DUitNow QR Campaign at UMS” dan “Kempen Cashless Campus sempena Program Pendigitalan Kampus Siri 1”.

“Kempen ini menawarkan hadiah-hadiah menarik untuk para pembayar bertuah yang membuat pembayaran menggunakan MyDebit, DuitNow QR, FPX atau JomPAY serta para
pemenang yang mengikuti aktiviti pembayaran tanpa tunai yang dijalankan dalam tempoh kempen tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette