Antara wanita warga asing yang dicekup kerana disyaki menawarkan khidmat seks menerusi WeChat.

MELAKA – Lapan wanita warga Vietnam dan Thailand yang dipercayai pekerja seks antara 19 warga asing ditahan Jabatan Imigresen (JIM) Melaka dalam serbuan sekitar Melaka Raya, di sini, malam kelmarin.

Dalam serbuan bermula pukul 9.45 malam itu, lima wanita warga Vietnam dan tiga Thailand berusia 27 hingga 33 tahun itu ditahan selepas disyaki menawarkan khidmat seks melalui aplikasi WeChat dengan bayaran antara RM230 hingga RM270.

Pengarah JIM Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, pemeriksaan Op Gegar dibuat selepas menerima aduan mengenai kegiatan pelacuran dalam bilik hotel didiami wanita warga asing itu.

“Ketika serbuan, ada di antara beberapa wanita warga asing ini enggan memberikan kerjasama dengan tidak membuka pintu bilik hotel untuk pemeriksaan.

“Akibatnya, penguat kuasa terpaksa memecahkan pintu beberapa bilik dan siasatan awal mendapati mereka menawarkan khidmat seks dengan bayaran antara RM230 hingga RM270,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, kesemua lapan wanita warga asing itu ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sementara itu dalam operasi Op Sapu, pihaknya menyerbu penempatan pekerja asing di sebuah rumah kongsi tapak bina taman perumahan di Krubong sebelum memeriksa seramai 41 warga asing, lapan individu bertaraf penduduk tetap dan seorang warga tempatan.

“Hasil pemeriksaan, seramai 11 lelaki berusia 21 hingga 47 tahun ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Mereka terdiri daripada dua warga Myanmar, Bangladesh (seorang) dan masing-masing empat orang warga Indonesia dan Nepal,” katanya sambil menambah mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Melaka di Ayer Keroh untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast