SELAYANG – Seorang pegawai polis wanita berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap satu pertuduhan merendahkan jawatan seorang anggota berpangkat rendah di sebuah kedai makan di Taman Sri Gombak, 15 Jun lalu.
Tertuduh, Sheila Sharon Steven, 34, membuat pengakuan itu selepas jurubahasa membacakan pertuduhan itu di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.
Mengikut pertuduhan, Sheila Sharon didapati telah menyebut berkenaan pangkat Lans Korporat dengan cara tidak wajar kepada Arif Farhan Abdul Razak dengan maksud untuk mengaibkan kehormatan anggota polis tersebut.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di No. 8, Jalan SJ 1/1, Taman Sri Gombak, Gombak kira-kira jam 1.25 tengah hari, 15 Jun lalu.
Sheila didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Sekysen 509 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Sheila Sharon yang memakai t-shirt berwarna kelabu berjaket hitam tiba di Kompleks Mahkamah di sini bersama peguamnya, M. Manoharan dan M. Hariharan kira-kira jam 8.55 pagi tadi.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Farhah Ahmad Hilmi menawarkan ikat jamin berjumlah RM5,000.
Bagaimanapun peguam M.Manoharan memohon mahkamah agar memberikan jaminan bon atau jaminan paling rendah.
Ini kerana Sheila Sharon sudah berkhidmat selama tujuh tahun dengan PDRM sejak 21 Ogos 2016.
Tertuduh mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik dari Universiti Malaya dan sebelum ini pernah berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan Bukit Aman hingga kini.
Selain Sheila dan adiknya, bapanya juga seorang bekas pegawai polis berjawatan Asisten Komisioner (ASP) dan berkhidmat dengan PDRM selama 39 tahun.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Majistret juga menetapkan 7 Ogos ini sebagai tarikh serahan dokumen kes tersebut. – MalaysiaGazette