Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bercakap kepada media selepas melawat Kilang Malaysia NPK Fertilizers Sdn Bhd, Gurun, Kedah. Foto MOHD ADZLAN 26 JUN 2023.

GURUN – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) berupaya meneruskan operasi kilang Malaysia NPK Fertilizer Sdn. Bhd. (MNFSB) untuk membekalkan baja subsidi kepada petani seluruh negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya yakin NAFAS mampu memikul tanggungjawab dalam memastikan pembekalan baja kepada golongan petani sentiasa mencukupi.

“Pembekalan baja ini merupakan program kerajaan untuk mengurangkan kos pengeluaran padi disamping meningkatkan pendapatan petani, pesawah seluruh negara.

“Jadi bagi saya NAFAS mampu jaga petani, peladang dan jika ada kelemahan kita baiki dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohamad mengadakan lawatan kerja ke MNFSB dan ia merupakan lawatan pertama selepas beliau dilantik sebagai Menteri MAFS.

Pekerja kilang melakukan proses pengeluaran baja ketika di Kilang Malaysia NPK Fertilizers Sdn Bhd, Gurun, Kedah. Foto MOHD ADZLAN 26 JUN 2023.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kontrak NAFAS bagi membekalkan baja dijangka tamat hujung tahun ini, Mohamad berkata, perkara berkenaan akan terus dibincangkan.

“NAFAS ini merupakan satu badan ditubuhkan oleh kerajaan, jadi sudah tentu kita mahu Nafas ini terus ‘bernafas’,” katanya.

MNFSB merupakan syarikat usahasama NAFAS dan Petronas Chemicals Fertilizer Kedah Sdn. Bhd. mula beroperasi pada 2005.

MNFSB menjalankan aktiviti pengilangan baja dengan memproses pelbagai jenis baja di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Baja NPK Tambahan di bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi dan Skim Baja dan Racun Padi Bukit.

Dalam perkembangan lain, NAFAS memperkenalkan produk baja baharu keluaran MNFSB, Silgrow Plus, iaitu baja mineral silikon yang berfungsi sebagai perapi tanah.

Kelebihan utama Silgrow Plus adalah bagi meneutralkan pH tanah dan meningkatkan keupayaan tanah untuk memegang nutrien apabila pembajaan dilakukan.

Dalam beg seberat 25 kilogram, Silgrow Plus berbentuk granular atau butiran bagi memudahkan penggunaan semasa menabur.

Produk ini boleh didapati dengan harga istimewa RM55 satu beg di kedai-kedai input pertanian Pertubuhan Peladang Kawasan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.