agama Asyraf
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kedudukan parti politik tidak sepatutnya disamatarafkan dengan kedudukan agama.

Menurut beliau, Islam adalah lebih tinggi dan melangkaui mana-mana parti politik.

Asyraf Wajdi turut mengingatkan bahawa semua umat Islam adalah bersaudara selagi mereka mengucap dua kalimah syahadah.

“Perbezaan ijitihad dalam pendekatan politik kepartian jangan sampai kita meleburkan ukhuwwah Islamiah yang lebih penting.

“Bersederhanalah dalam berpolitik dan berparti,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini yang menegaskan bahawa adalah haram untuk menggelar orang Islam lain yang mempunyai platform politik sebagai musuh Allah SWT.

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama itu memetik hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Dan sesiapa yang memanggil seseorang lelaki dengan gelaran kafir atau dia berkata ‘wahai musuh Allah’ sedangkan dia tidak begitu melainkan kembali kepadanya”.

Mohd Khairuddin berkata, tiada kewajipan bagi umat Islam bersama dan menyokong Pas kerana tiada dalil dalam al-Quran dan as-sunnah berhubung perkara itu.

“Mewajibkan sesuatu yang tidak wajib itu adalah perbuatan haram.

“Sebarang fatwa yang mewajibkan orang Islam berpolitik menerusi Pas dan mengundi hanya Pas dalam politik pilihan raya sahaja adalah fatwa songsang kerana ijtihad politik kepartian sifatnya luas dan tidak terhenti pada satu organisasi sahaja,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau meminta ahli-ahli politik yang mendakwa memperjuangkan Islam agar jangan tergelincir lidah menyeru rakan Muslim yang berbeza platform politik sebagai musuh Allah kerana ia adalah perbuatan yang haram. – MalaysiaGazette