Nama Sophia Liana bukan lagi asing di persada seni hiburan tanah air di mana mula bertapak di dalam muzik industri tempatan sejak 2015.

KUALA LUMPUR – Membina jenamanya sendiri, Sophia Liana menjadi satu-satunya rapper wanita di bawah Def Jam Malaysia yang memaparkan bakat melalui lagu terbaharunya berjudul Nah.

Tidak dinafikan lagi, nama Sophia bukan lagi asing di persada seni hiburan tanah air di mana mula bertapak di dalam muzik industri tempatan sejak 2015 menerusi penampilannya bersama kumpulan De Fam dan terus mengorak langkah sebaris
dengan penyanyi dan rapper sedia ada.

Ternyata percaturannya dengan cubaan bergerak solo pada 2018 selain ingin mencabar diri membuahkan hasil apabila Sophia sudah berkolaborasi dengan beberapa artis tempatan antaranya, Dayang Nurfaizah, Hannah Delisha, Budak Ngam, Harith Zazman dan ramai lagi.

Lebih membanggakan juga apabila Sophia mula menggilap bakatnya dalam penciptaan lagu malah sejak lagu pertama Supergirls bersama De Fam, Sophia sudah mula menulis lirik sendiri.

Terbaharu, Sophia atau nama sebenarnya Sophiatul Liana Mohamed Sobri muncul dengan single berjudul Nah yang juga hasil ciptaan sendiri bersama dengan Navigator, Mambang dan Zizi Kirana.

Menurutnya, lagu Nah itu berkisar mengenai isu yang berlaku dalam kalangan masyarakat umum.

“Kalau kita tengok sekarang ini ada orang yang lebih gemar menuding jari atau menyalahkan orang lain. Saling menyalahkan antara satu sama adalah sikap yang sering berlaku dan kadangkala seseorang itu tidak melihat kepada kesilapan diri
sendiri.

“Malah ada juga yang tidak bertanggungjawab terhadap tindakan yang dilakukan. Ini adalah isu yang saya cuba mengadaptasikan menerusi lagu ini.

“Proses penulisan lagu ini berjalan dengan sangat lancar, mungkin disebabkan kami sudah perincikan mengenai kandungan apa yang dikehendaki. Jadi, proses rakamannya juga tidak begitu lama dan senang bagi kami untuk memilih rentak yang
bersesuaian dan bagaimana cara untuk membuatkan lagu ini kedengaran lebih menarik,” katanya yang berusia 33 tahun.

Sophia Liana melalui lagu terbaharunya yang berjudul Nah.

Sophia turut  mendapat bantuan daripada Zizi Kirana dan Mambang dari segi melodi terutama pada bahagian korus.

“Saya mengambil masa satu hingga dua minggu sebelum pergi ke studio untuk rakamkan demo dahulu. Saya akan rakamkan demo itu di rumah sebelum pergi ke studio untuk menyelesaikan sesi rakaman sebenar.

“Dari situ, kami lihat bahagian mana yang lemah untuk ditambah baik terutama dari segi melodi dan lirik,” katanya.

Sophia yang juga pernah muncul menerusi lagu Pedas nyanyian Wany Hasrita berkata, proses rakaman lagu Nah juga sangat menyeronokkan termasuk ketika menjayakan penggambaran video muzik.

“Proses rakaman muzik video pula hanya mengambil masa satu hari disebabkan pengarahnya sudah tahu apa yang ingin dilakukan dan memudahkan segala gerak kerja kami sebagai satu pasukan dan ianya mampu di selesaikan dalam tempoh yang
singkat,” katanya.

Berkongsi lebih lanjut, Sophia mengakui turut berdepan cabaran ketika menghasilkan lagu Nah

“Untuk siapkan lagu dan muzik video tidak ada cabaran yang begitu berat. Mungkin cabarannya dari segi masa untuk mengumpulkan semua yang terbabit dalam satu masa.

“Selain itu, mencari cameo untuk melakonkan watak yang dimahukan dalam muzik video ini juga ada sedikit cabaran, namun semuanya berjalan lancar dan dapat diselesaikan dengan baik.

Sementara itu, single Nah boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music dan muzik video juga ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Def Jam Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast