KUALA LUMPUR — Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) perlu terlibat dalam usaha memastikan produk tempatan menembusi pasaran antarabangsa.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pasaran luar tidak hanya tertumpu kepada perniagaan mega, malah PKS juga berpeluang menyumbang kepada ekonomi negara.

“Dari segi perdagangan eksport itu amat penting dan peniaga-peniaga kecil sepatutnya bersama-sama sekali dengan peniaga-peniaga besar serta industri.

“Kadang-kadang kita lihat eksport ini hanya untuk industri besar, tetapi kita nak mempromosikan PKS kita terutamanya mikro juga.

“PKS perlu mengambil kesempatan untuk menggunakan fasiliti-fasiliti yang ada dalam MITI terutamanya untuk eksport ke luar negara,” katanya selepas merasmikan Pelancaran dan Flagoff Glowbox sempena Hari Usahawan Negara 2023 di Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Glowbox merupakan teknik pemasaran produk-produk usahawan yang akan dipaparkan di beg penghantar makanan p-hailing.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, MITI akan memfokuskan usaha memastikan industri tempatan terutamanya PKS mendapat peluang melebarkan pasaran ke peringkat  antarabangsa.

“Kita bekerjasama dengan semua agensi, dan yang pentingnya kita sebagai kerajaan kena berkolaborasi dan mempunyai koordinasi baik supaya usahawan-usahawan kita dapat manfaat banyak yang kita perkenalkan,” ujarnya. -MalaysiaGazette