Muhammad Rafique Rashid

KUALA LUMPUR – Pejuang melahirkan kegusaran sekiranya Malaysia bertukar menjadi sebuah ‘negara polis’

Ini berikutan tular video Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzi yang didakwa secara terbuka mempertontonkan amaran kepada pengkritik-pengkritik kerajaan dalam siaran langsung di TikTok.

Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid berkata, tindakan tersebut seolah-olah meneruskan rentak sumbang membelakangkan reformasi.

“Tidak ada salahnya menyatakan bahawa pihak berkuasa akan memantau tetapi apabila dinyatakan secara seloroh atau gurauan (yang kini nampaknya menjadi kebiasaan pimpinan) dalam kalangan pentaksub maka ianya seolah amaran akan ada tindakan.

“Apa yang berlaku kini seolah salah guna kuasa atau kedudukan. Bagaimana seorang Menteri boleh tergamak berkata sedemikian sedangkan parti beliau sendiri sebelum jadi kerajaan paling lantang bersuara mengkritik mereka dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Rafique berkata, amaran yang dilontarkan oleh Fahmi adalah salah dan tidak wajar.

Beliau mendakwa ia seolah-olah satu proses intimidasi kepada pihak lawan yang boleh membawa ke arah salah guna kuasa.

“Perbuatan tersebut juga dirangka untuk mendiamkan kritikan atau pengkritik.

“Ia juga salah satu cara untuk mengelak rakyat dari terus mempersoal kewibawaan atau kecekapan kerajaan dalam menangani pelbagai isu yang menghantui rakyat seperti kos sara hidup, ekonomi yang makin parah serta isu hipokrasi Kerajaan.

“Pejuang menyatakan bahawa hak bersuara serta kebebasan bersuara selagi mana menurut lunas undang-undang mesti dipertahankan,” katanya.

Tambah Rafique, jika perbuatan seperti itu dibiarkan Malaysia akan menuju ke arah ‘negara polis’ serta kerajaan totalitarian.

Fahmi sebelum ini menyangkal laporan yang menyatakan beliau mengancam akan mengambil tindakan terhadap penonton siaran langsungnya di TikTok kerana menyiarkan komen mengkritik dirinya dan kerajaan.

Media melaporkan, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mengingatkan penonton supaya tidak membuat kenyataan berunsur provokasi berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R).

“Berkenaan 3R, saya hanya mengulangi apa yang pernah saya sebut. Sama dengan apa (Menteri Dalam Negeri) Saifuddin Nasution Ismail katakan sebelum ini. Saya ingatkan agar orang ramai tidak buat komen-komen 3R yang bersifat menghasut.

“Apabila saya buat ‘live’ TikTok dalam acara, selalu komen yang ditinggalkan (penonton) sentuh 3R. Saya dah selalu cakap, pengguna media sosial tidak patut perguna 3R untuk tujuan politik,” kata Fahmi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast