Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa agar segera mengkaji semula sistem pendidikan berikutan kebimbangan yang dikemukakan Majlis Profesor Negara dan Kumpulan Modal Insan bahawa sistem berkenaan berada dalam krisis dan gagal menghasilkan modal insan berkualiti.

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) melihat wujudnya keperluan segera ia harusĀ  diambil tindakan sewajarnya bagi menyelamatkan sistem pendidikan negara ini.

Presidennya, Datuk Dominic Lau berkata, Setiausaha Majlis, Dr. Anuar Ahmad baru-baru ini telah menggesa pihak berkuasa untuk mengakui kegagalan tersebut.

Menurut Dominic, laporan awam, sama ada dari dalam negeri mahu pun luar negara secara konsisten menunjukkan kelemahan Malaysia dalam bidang pendidikan namun masih terdapat kekurangan tindakan untuk menanganinya.

“Situasi ini bertambah buruk dengan pelajar Tingkatan Lima sekolah menengah yang memilih untuk tidak meneruskan pengajian tinggi, berhenti sekolah dan sejumlah besarnya didapati gagal menamatkan peperiksaan SPM.

“Gerakan dengan tegas percaya kemerosotan ini tidak boleh dibiarkan berterusan dalam sistem pendidikan negara kita terutama ketika dunia semakin memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan berkemampuan tinggi.

“Untuk bergerak ke hadapan, adalah penting untuk jujur tentang kekuatan, kelemahan dan bidang yang perlu diperbaiki dalam sistem pendidikan dan untuk itu Kementerian Pendidikan harus mengkaji bidang-bidang yang perlu diperbaiki dan mengubah mata pelajaran yang sedia ada,” kata Dominic hari ini.

Dalam perkara sama, Dominic juga menambah laporan oleh bank pelaburan Goldman Sachs memberi amaran tentang potensi penggantian 300 juta pekerjaan sepenuh masa di seluruh dunia oleh Artificial Intelligence dan Malaysia tidak terkecuali.

Bagaimanapun, katanya, laporan itu juga menunjukkan perkara itu boleh menghasilkan pekerjaan baru dan ledakan produktiviti.

Jelas Dominic lagi, dalam keadaan ini adalah penting untuk melengkapi generasi muda dengan kemahiran yang diperlukan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan.

Malah, katanya, meneruskan pengajaran topik yang mungkin tidak lagi relevan berisiko menghalang peluang untuk memenuhi keperluan semasa dan mengakibatkan kehilangan minat dalam pengajian.

Sebaliknya Dominic menegaskan, sistem pendidikan negara perlu mengurangkan sepenuhnya kebergantungan pada konsep pembelajaran hafalan sepenuhnya dan sebaliknya wajar memperkenalkan sukatan pelajaran seiring dengan keperluan masa depan.

“Usaha harus dibuat untuk mempromosikan literasi digital sebagai alat untuk komunikasi dan penyelesaian masalah yang mana pelajar harus mahir dalam menilai maklumat dalam talian dan menggunakan alat digital untuk komunikasi dan inovasi yang efektif, termasuk pengkodan dan pembangunan aplikasi inovatif.

“Keusahawanan dan literasi kewangan juga memainkan peranan penting dalam membentuk mentaliti keusahawanan dan kemahiran perniagaan dan dalam hal ini pelajar harus memahami komponen dan strategi rancangan perniagaan,” jelasnya.

Dominic juga berkata, usaha harus diambil untuk mempromosi topik kesihatan mental untuk membantu pelajar menguruskan tekanan, membina daya tahan dan menjaga kesejahteraan keseluruhan.

“Teknologi hijau adalah masa depan tetapi adakah kita mengajar anak-anak kita tentang ini? Ini boleh dilakukan melalui projek sekolah pada masa yang sama kerjasama ibu bapa juga sangat penting untuk menjayakan atau merealisasikan inisiatif ini.

“Setiap sekolah juga harus bekerjasama dengan ibu bapa yang datang dari latar belakang yang pelbagai. kita harus mencari kaedah efektif bagaimana ibu bapa boleh menjadi sukarelawan untuk berkongsi kepakaran dan masa mereka,” katanya.- MalaysiaGazette