Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – MUDA menganggap kenyataan yang menyifatkan parti tersebut tergesa-gesa untuk bergerak solo dan enggan bekerjasama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak berasas.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, parti tersebut sebelum ini telah mengambil inisiatif menghantar tiga surat permohonan untuk mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Pakatan Harapan.

Namun katanya, usaha berkenaan tidak diendahkan.

“MUDA seolah-olah diperlekehkan apabila Setiausaha Agung PH (Datuk Saifuddin Nasution Ismail) menjawab bahawa beliau tidak ada masa untuk membaca surat-surat kami. Walaupun pejabat beliau pada mulanya bersetuju dengan tarikh yang telah ditetapkan tetapi membatalkannya pada saat-saat akhir.

“Secara peribadi saya telah cuba menghubungi Perdana Menteri dan pegawainya dengan pelbagai cara sama ada di dalam Parlimen, di luar Parlimen, melalui pesanan teks, dan sebagainya. Malangnya, tiada respons,” katanya menerusi kenyataan.

Tegasnya, MUDA tidak meminta untuk diberikan kontrak sebaliknya usaha untuk mengadakan pertemuan adalah demi menyuarakan cadangan pembentukan Malaysia ke arah bersifat harmoni sudut berbilang kaum, berbilang agama, berpendirian sederhana, dan berpusatkan reformasi.

“MUDA berada di sini untuk memastikan masa depan Malaysia yang mampan. Untuk membawa era politik baru di mana kepelbagaian diraikan dan kuasa dikembalikan kepada institusi berorientasikan rakyat dan bukan terpusat di tangan elitis-elitis politik,” tambahnya.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang yang menasihatkan MUDA supaya tidak mengambil tindakan terburu-buru untuk bergerak secara sendirian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Mengulas lanjut Syed Saddiq berkata, keputusan MUDA untuk bergerak bersendirian pada PRN akan datang kerana ingin menjadi pilihan alternatif progresif dan melaksanakan reformasi bukannya mencetuskan perpecahan.

Ini kerana, golongan yang sebelum ini melaungkan reformasi semakin membisu terhadap pelbagai isu yang terpalit dengan Kerajaan perpaduan.

“Saya setuju dengan pandangan Tan Sri mengenai Perikatan Nasional yang bermain naratif politik perpecahan dan keperluan untuk ada alternatif. MUDA ingin menjadi alternatif progresif itu, bukannya menanam ketakutan, perpecahan, dan berpaksikan partisan yang dimainkan oleh elitiselitis politik.

“Jawatan GLC masih dianggap sebagai ganjaran politik kepada elitis-elitis politik yang patuh dan taat. Sehingga ke hari ini masih tiada Akta Pembiayaan Politik. Masih tiada had dua penggal untuk Perdana Menteri. Tiada pemisahan antara portfolio Perdana Menteri dengan Menteri Kewangan (bukan hanya itu, Perdana Menteri hari ini juga memegang portfolio Menteri Wilayah dan berada di dalam Lembaga Pengampunan).

“Tiada peruntukan yang sama rata untuk Ahli Parlimen. Monopoli besar dan konsesi masih diperpanjang. Undang-undang zalim masih ada dan malah dicadang untuk diperkuatkan oleh kerajaan ini. Senarai janji palsu ini tidak ada penghujungnya.

“Hingga hari ini, yang menggelarkan diri mereka sebagai “reformis” hanya diam mengenai desakan pengampunan, penangguhan tanpa had atas pertuduhan jenayah Timbalan Perdana Menteri dan skandal besar seperti perolehan pertahanan RM11.2 bilion untuk projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

“Saya bukan berada di sini untuk menjadi hakim, juri, dan pendakwa raya. Tolong jangan melaungkan “Kedaulatan Undang-Undang” sebelum pilihan raya, tetapi terus berdiam diri apabila berkuasa. Bahkan pembelaan terhadap integriti kehakiman adalah seperti tidak bersungguh-sungguh. Institusi kehakiman kita ‘diserang’, namun ramai di dalam tampuk kuasa hari ini memilih untuk berdiam diri,” katanya lagi.-

Sehubungan itu Syed Saddiq menegaskan MUDA tidak berganjak daripada keputusan baru-baru ini.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Setiausaha Agung PH (Datuk Saifuddin Nasution Ismail) menjawab bahawa beliau tidak ada masa untuk membaca surat-surat…..SOMBONG EGO tidak sedar diri KALAH PRU JADI MENTERI di bawah kelengkang para MUNAFIK

Comments are closed.