Kelibat sebuah kereta Perodua Kancil merah yang dikesan dipandu melawan arus di Batu 6, Jalan Gombak sebelum tular menerusi TikTok di media sosial hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu pemandu Perodua Kancil yang dikesan dipandu secara melawan arus di Batu 6, Jalan Gombak, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya telah mengesan penularan sebuah klip rakamn video berdurasi 24 saat di aplikasi media sosial TikTok mengenai insiden tersebut kira-kira jam 3 petang ini.

“Pengamatan pada video berkenaan mendapati sebuah kereta jenis Perodua Kancil
berwarna merah bernombor pendaftaran tidak pasti dilihat dipandu melawan arus di Batu 6, Jalan Gombak menghala ke arah Taman Greenwood di Batu Caves.

“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati pemilik akaun media sosial tersebut merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 20 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rakaman video itu memaparkan pemandu kenderaan itu memberhentikan keretanya jalan sebuah jalan yang sibuk di hadapan Balai Polis Gombak.

Tambah Zainal Mohamed, soal siasat ke atas pemuda itu mendapati dia memuat turun video tersebut daripada akaun media sosial pemilik lain.

Menurutnyam kes disiasat di bawah Seksyen 48 (1) APJ 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017-6645812 atau 03-61262222. – MalaysiaGazette