MUDA
Foto hiasan

SELAKU peminat, pemain dan pemerhati politik, saya seperti ramai yang lain sentiasa dalam kebingungan melihat telatah reaksi Angkatan Muda Keadilan (AMK) terhadap MUDA sejak dulu hingga kini. Ada sahaja yang tak kena dibuat oleh MUDA di mata AMK. Bahkan serangan demi serangan terhadap MUDA kadang melebihi serangan AMK terhadap parti musuh seperti Pemuda Pas, Armada Bersatu dan sebagainya. Ada sesuatu tidak kena, sesuatu yang saya hanya mampu meneka dan mengagak semata.

Mungkinkah AMK berasa tergugat kerana MUDA lebih popular dikalangan anak muda negara ini?

MUDA sebenarnya tidak perlu lahir atas dunia ini jika sayap Pemuda PH seperti AMK, Dapsy, Pemuda Amanah benar-benar berfungsi. Kegagalan sayap-sayap pemuda ini dalam menambat hati anak-anak muda menyebabkan satu defisit ketara yang jelas terlihat bilamana undi 18 yang PH beriya perjuangkan tidak memihak pada PH dalam keputusan pilihanraya. Siapa yang bertanggungjawab? Mestilah sayap pemuda setiap parti. Sayap ini diwujudkan untuk membina pelapis sekaligus alat parti mendekati orang muda. Tetapi ia ditunggang mereka yang bertopengkan wajah “pemuda” yang hanya mahu jadikan sayap itu sebagai batu loncatan untuk melangkah lebih tinggi dimasa hadapan dalam hierarki parti.

Akibatnya walaupun pakai nama anak muda, mereka main politik macam orang tua, sekadar menjadi pak sanggup kepada atasan membuta tuli, menjadi pengampu, pembodek bertentangan dengan semangat anak muda yang suka mencabar idea dan berjiwa tajdid. MUDA lahir menawarkan sesuatu yang AMK tidak dapat berikan, iaitu kebebasan anak muda memimpin dan bergerak sendiri tanpa ikut telunjuk sesiapa. Sebuah gerakan mandiri, gerila yang buat ramai anak muda begitu terliur dan ghairah menyambut kedatangan MUDA.

Apakah AMK menganggap dengan bersikap keras terhadap MUDA akan buatkan orang terlupa pada kelemahannya sendiri?

Pemilihan AMK misalnya adalah pemilihan yang memalukan dengan kekerasan, pergaduhan fizikal, begitu berpuak-puak seakan wujud parti dalam parti sendiri. Tiadanya kesatuan, keinginan berlumba merebut jawatan menjadikan AMK agak “penyegan” dalam menyantuni mahasiswa, menjuarai isu anak muda marjinal, menjadi jurucakap terhadap kepentingan dan hasrat anak muda secara amnya.

AMK selalu bernostalgia menyebut kehebatan presiden parti mereka yang menjuarai isu rakyat sejak zaman mudanya seperti demonstrasi Baling 1974 misalnya tetapi apakah mereka tidak mencermin diri betapa berbezanya diri mereka hari ini dengan kisah 49 tahun lepas itu? Saat isu doktor kontrak bergema, kadar upah “intern”, jaminan keselamatan penghantar makanan, kelemahan ringgit dan banyak lagi isu yang menjadi kerisauan anak muda khususnya mengapa tidak kedengaran suara mereka?

Hanya ada dua kategori sahaja siaran media atau berita dari AMK, pertama mereka mencari gaduh dengan parti lain dalam PH-BN, kedua mereka sibuk buat laporan polis sana sini setaraf dengan pemimpin NGO. Selain itu? Yillek.

Kesombongan nada terutama yang terkini bila seakan menunjukkan “pintu keluar” buat MUDA mengesahkan sikap lupa diri dan tidak setiakawan mereka.

Kenapa saat getir parlimen tergantung selepas PRU dulu mereka tak hambat siap-siap MUDA? Waktu itu setiap kerusi begitu berharga untuk realisasikan impian presiden mereka nak jadi Perdana Menteri. Bila dah berkuasa senang-senang pula mencabar kawan menjadi lawan. Menjadi sayap Pemuda tak bermaksud perlu jadi budak mentah dan tidak matang. Sepatutnya tunjukkan tauladan bersikap penyatu dan pengerat hubungan dengan semua.

Ini dalam sayap sendiri bertikam, dalam pakatan sendiri bertikam, mahu amuk sahaja tiap masa membuatkan masyarakat luar lagi rasa berjurang dengan mereka. Adakah hanya nilai 1 kerusi sahaja dari MUDA yang buat mereka rasa tak bermasalah nak tolak ke sana sini? Tiadakah harga untuk prinsip, perjuangan, perkongsian halatuju? Jika hari ini MUDA diperlekeh begini, esok-esok parti lain kena bersiap sedia diserang peluru sesat tak bersasaran Angkatan Menikam Kawan (AMK) ini.

Saya tidaklah suka sangat pada MUDA, tapi mereka beroleh hormat dari saya. Dalam kebanyakan ahli politik muda mencari platform parti yang sudah gah dan besar, mereka memilih menubuh sendiri sebuah gerakan perjuangan!

Ke mana pun MUDA, moga baik-baik saja.

-Nik Aziz Afiq Bin Abdul, Kuala Lumpur.

*Artikel ini memaparkan pandangan pembaca dan tiada ada kena mengena dengan pendirian portal kami. – MG

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast