Razarudin Husain semasa mempengerusikan mesyuarat pertama KPN di Bukit Aman pagi hari ini.

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain telah mempengerusikan Mesyuarat Khas yang pertama bertempat di Bukit Aman hari ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam laman sesawang Facebook rasminya memberitahu mesyuarat khas itu bermula 9.30 pagi tadi di Menara 1, Bukit Aman.

Mesyuarat itu dihadiri oleh barisan pengarah PDRM antaranya Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Kamaruddin Mat Din dan Pengarah JKDNKA, Datuk Seri Hazani Ghazali.

Ia turut dihadiri pesuruhjaya polis, ketua-ketua polis negeri, komander, komandan serta ketua-ketua polis daerah yang ada antaranya mengikuti mesyuarat tersebut secara maya.

Mesyuarat itu telah membincangkan mengenai penetapan hala tuju untuk memastikan pasukan PDRM sentiasa dalam landasan yang tepat.

Selain  itu, mesyuarat khas tersebut turut menyentuh amanat  Razarudin mengenai isu berkaitan integriti dan kebajikan warga PDRM serta peranan  barisan kepimpinan tertinggi di semua peringkat dalam memudahkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Turut diberi tumpuan  aspek pengurusan media dan persiapan PDRM menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri yang bakal diadakan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette