Anwar bermesra dengan jemaah masjid dan penduduk pada majlis tersebut.

BUKIT MERTAJAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dirinya tidak peduli dengan ugutan daripada ‘geng sakau’ yang didakwa mahu menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

Jelas beliau, pakatan ‘geng kaya-raya’ itu tidak memberi kesan kepadanya dalam usaha memartabatkan serta menaikkan ekonomi negara.

“Ketika saya mengambil alih pemerintahan, negara mempunyai hutang mencecah RM1.5 trilion dan kita cuba lakukan pelbagai usaha untuk memulihkan negara.

Anwar berucap pada Majlis Kenduri Korban di Masjid Jamek An-Nur, Kampung Guar Perahu, Permatang Pauh hari ini.

“Macam-macam ugutan saya terima dalam usaha itu (pulihkan negara) dan ‘geng kaya-raya’ ini buat pakatan (mahu jatuhkan kerajaan), saya tak ada masalah.

“Saya tetap lawan untuk tahan prinsip (hapuskan rasuah) serta bela kebajikan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Kenduri Korban di Masjid Jamek An-Nur, Kampung Guar Perahu  hari ini.

Terdahulu, Anwar turut menunaikan solat Jumaat bersama penduduk setempat di masjid sama.

Tambah Perdana Menteri, dalam tempoh tujuh bulan mentadbir negara, tiada sebarang salah guna kuasa mahu pun amalan konsep kayakan keluarga dilakukan.

“Kalau kata saya terlibat dalam kes rasuah atau guna wang kayakan Azizah (Datin Seri Wan Azizah Ismail) dan Nurul Izzah dan anak-anak boleh bawa (siasat) tapi alhamdulillah, syukur tujuh bulan kuasa satu kepentingan keluarga saya  tak ada sama sekali,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Anwar meminta rakyat membuat penilaian yang adil sebelum menerima atau terpengaruh dengan sebarang dakyah politik.

Tegas beliau, rakyat perlu cakna susulan banyak kenyataan yang diuar-uarkan parti politik tertentu berkonsepkan fitnah.

“Boleh kritik, bukan semua saya buat betul adakalanya ada kelemahan yang saya tak tahu tapi cerca dan fitnah memang tak boleh tak kira dia pakai kopiah, ketayap dan kot.

“Saya minta tolong rakyat buat penilaian sebelum percaya sesuatu kenyataan. Selain itu, berilah peluang untuk kita tadbir negara ini. Negara kita dulu hampir rosak, menteri semua kaya raya kita kena tukar cara itu,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.