Foti Ihsan PDRM

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer (KM) 70.5 Jalan Johor Bahru – Mersing, Johor hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pemandu kereta berkenaan tersepit di tempat duduknya dan disahkan meninggal dunia.

Kedua-dua rakannya yang cedera dihantar ke Hospital Kota Tinggi bagi mendapatkan rawatan.

“Dalam kemalangan ini, pemandu kereta jenis Proton Satria berwarna biru berusia 20 tahun dalam perjalanan dari arah Mersing menuju ke Johor Bahru bersama dua rakan sebaya.

“Semasa melalui tempat kejadian, dipercayai pemandu berkenaan hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan menuju ke arah Kota Tinggi dan masuk ke ladang sawit berhampiran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Hussin,  pihaknya menerima maklumat kemalangan yang melibatkan kenderaan terbabas sendiri sekitar 1.35 petang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau merbahaya dan menyebabkan kematian.

Dalam pada itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Ibrahim Wahid berkata, satu jentera FRT, satu jentera EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi serta lima anggota bomba dikerah ke lokasi kejadian selepas menerima laporan kemalangan pukul 1.23 petang.

Katanya, operasi ditamatkan pada 2.50 petang selepas mangsa yang tercedera dibawa ke hospital dan mangsa maut diserahkan kepada pihak polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast