MELAKA – Koperasi Surau Al-Hikmah Melaka Berhad tampil dengan idea unik apabila memilih untuk menyimpan sebahagian daripada lebih 5,500 pek daging korban untuk diagih-agihkan kepada golongan asnaf sehingga Oktober ini.
Pengerusinya, Mohd Khairul Zaki Misbah berkata, ini bagi memastikan semua daging daripada 58 ekor lembu dan kambing itu tidak berlaku lambakan yang lazimnya menyaksikan kumpulan sasar menerima banyak daging korban.

Menurutnya, semua daging sembelihan itu akan disimpan di dalam peti sejuk beku koperasi yang dijangka mencukupi untuk diagihkan sehingga Rabi’ul Awal pada Oktober ini.
“Karnival Melaka Qorban House 1444H / 2023 melibatkan 58 ekor lembu dan kambing yang julung kalinya dianjurkan ini adalah yang terbesar di Melaka bermula pukul 12 tengah malam tadi yang dijangka selesai pukul 2 petang ini.
“Semua daging korban ini akan diagihkan kepada 5,500 asnaf, fakir miskin, peserta dan kumpulan B40 bukan hanya sempena Aidiladha ini kerana kita tahu sekarang ini sudah terlalu banyak daging diterima mereka.

“Jadi daging ini akan disimpan dalam peti sejuk beku koperasi untuk agihan selepas daripada Zulhijjah, Muharam, Safar dan Rabi’ul Awal jadi sekiranya ada dalam kalangan asnaf yang dengar mereka boleh berhubung dengan koperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program karnival itu yang dianjurkan bersama Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) di Taman Seri Pandan, Kesidang hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Khairul berkata, program korban kali ini turut melibatkan karnival bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Raya Aidiladha.
“Kita mahu jadikan program korban ini bukan sekadar sembelihan ternakan tapi karnival yang disertai persembahan qasidah dan kuiz supaya lebih ramai umat Islam dapat memeriahkannya.
“Ini kerana kita mahu semarakan lagi suasana perayaan Aidiladha yang sepatutnya lebih meriah daripada Hari Raya Aidilfitri,” katanya. – MalaysiaGazette