MELAKA – Seramai 36 pengunjung Menara Taming Sari di sini berdepan detik cemas apabila terperangkap selama 30 minit di dalam menara berputar itu pada ketinggian 80 meter petang tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad Azlan Abidin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.58 petang, kesemua mangsa termasuk lapan kanak-kanak dan seorang orang kurang upaya (OKU) ketika itu sedang bergerak turun dari menara ikonik berkenaan setinggi 110 meter.
“Kejadian berlaku ketika menara menara berputar yang boleh memuatkan 60 pengunjung itu sedang bergerak turun sebelum tiba-tiba ia terhenti pada ketinggian 60 meter.
“Pasukan teknikal kami sebenarnya sudah bersedia dengan langkah penyelamatan awal, namun ada pengunjung telah memanggil pihak bomba sebelum kami berjaya membawa turun semua 36 penumpang dengan selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, pengunjung tidak perlu bimbang kerana pihaknya sudah berpengalaman berdepan situasi itu dan sedang menunggu laporan teknikal lengkap berhubung insiden berkenaan.
Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pegawai Bomba Kanan II Abd Rahim Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 5.58 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kami memastikan proses membawa turun menara ikonik ini berada dalam keadaan baik dan semua 36 mangsa iaitu 26 dewasa, lapan kanak-kanak, masing-masing seorang warga emas dan OKU dalam keadaan selamat
“Pihak penyelenggaraan Menara Taming Sari juga telah bertindak menggunakan motor sokongan untuk menurunkan pelantar ke bawah setelah motor utama mengalami masalah teknikal,” katanya.
Tinjauan MalaysiaGazette pada pukul di lokasi pada pukul 7 petang tadi mendapati, kaunter jualan tiket menara berkenaan masih dibuka namun perkhidmatan menara berkenaan dihentikan sementara kepada pelancong. – MalaysiaGazette.