Foto Instagram Zaki Yamani

KUALA LUMPUR – Penyanyi remaja, Ahmad Zaki Yamani, 17, yang juga anak penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah meluahkan rasa kesal menjadi mangsa salah faham beberapa pihak berkaitan isu politik.

Ia berikutan teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung ciapan pengguna yang serupa namanya Zaki Yamani yang menyentuh isu berkaitan kesihatan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang kini dirawat di hospital.

Zaki turut memuat naik tangkap layar nasihat bapanya yang turut salah sangka terhadapnya.

 “Kepada Pakcik Zaki Yamani, awak dah buat saya kena marah dan huru-harakan nama saya hari ini. Siapa nak jawab bila ayah saya dah ‘sound’ (marah) ni?”

Sementara itu, salah faham ini bermula apabila media melaporkan kenyataan Perdana Menteri di Twitter meminta Zaki Yamani untuk membuat permohonan maaf.

Zaki adalah pembantu kepada Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Ia berikutan beliau memuat naik ciapan dengan berdoa agar Allah mengambil nyawa Hadi dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sehubungan itu, Zaki terpaksa membuat penjelasan ini kerana menerima banyak pertanyaan daripada pengikutnya di media sosial kerana menyangka dia individu yang dimaksudkan.

Sementara itu, Jamal menerusi WhatsApp turut memaklumkan Zaki Yamani yang dimaksudkan ialah Ahmad Zaki Yamani, seorang pembantu kepada Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Ia sekali gus menepis salah faham mengaitkan anaknya dalam isu ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast