Melaka akan menjadikan laluan Sungai Melaka Fasa 2 sepanjang 4.9 kilometer sebagai pusat latihan sukan air di negeri ini sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) tahun hadapan.

MELAKA – Kerajaan negeri akan menjadikan laluan Sungai Melaka Fasa 2 sepanjang 4.9 kilometer sebagai pusat latihan sukan air di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, selain dapat digunakan peserta sukan air seperti perahu naga dan kanu, ia juga dapat menarik minat pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) tahun hadapan.

“Saya dah minta Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) memberikan jadual dan waktu tarikh tertentu untuk dijadikan aktiviti riadah dan latihan ini (termasuklah) kepada Persatuan Perahu Naga.

“Atau juga kita akan akan buat satu tarikan baharu dengan memberikan ruang kepada peminat-peminat sukan kanu sebagai tempat latihan dan riadah mereka dan sukan air lain yang akan kita promosikan,” katanya.

Ab Rauf membunyikan hon sebagai simbolik perasmian Perlumbaan Perahu Naga 2023 Sempena Pesta Duanwu 2023 di Pengkalan Rama di Sungai Melaka, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perlumbaan Perahu Naga 2023 Sempena Pesta Duanwu 2023 di Pengkalan Rama, di sini hari ini.

Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan dan Budaya, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Pengerusi Persatuan Perahu Naga Melaka, Datuk Wong Soo Tang.

Perlumbaan hari ini ini melibatkan 30 penyertaan pelbagai peringkat umur dan masyarakat dari luar Melaka antaranya Sarawak, Terengganu, Johor, Putrajaya bagi merebut johan bagi dua kategori dipertandingkan iaitu Kategori Terbuka dan Tertutup.

Untuk rekod, Sungai Melaka Fasa 2 adalah projek pembangunan baharu selepas kejayaan Sungai Melaka Fasa 1 yang menjadi aluan bot pelancongan Melaka River Cruise (MRC).

Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, perarakan serta Perlumbaan Perahu Naga merupakan perayaan tradisional masyarakat Cina sempena Pesta Duanwu yang dikategorikan dalam subsektor pelancongan sukan Negeri Melaka.

“Subsektor pelancongan berasaskan sukan ini penting kerana ia juga satu daripada cara kita mengekalkan warisan sukan tradisi supaya dapat diwarisi oleh generasi pada masa akan datang.

“Justeru saya berharap, penganjuran program seperti ini dapat diteruskan pada tahun hadapan dengan lebih ramai penyertaan sekali gus membantu mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan yang wajib dilawati,” katanya. – MalaysiaGazette.